Pengukuhan nilai ringgit, pendapatan jangka pendek sebahagian syarikat semikonduktor diunjur terus terjejas - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Pengukuhan nilai ringgit, pendapatan jangka pendek sebahagian syarikat semikonduktor diunjur terus terjejas - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Okt - TA Securities mengunjurkan pendapatan jangka pendek beberapa syarikat semikonduktor di Bawah liputan mereka akan terjejas berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

 

Katanya, ia disebabkan jualan dan kos kebanyakan pemain semikonduktor adalah terikat dengan dolar AS, mereka masing-masing dianggap sebagai penerima manfaat bersih atau kerugian bersih disebabkan pengukuhan atau kelemahan dolar AS.

 

Firma penyelidikan itu berkata, menerusi analisis sesitiviti syarikat semikonduktor di bawah liputan mereka, dianggarkan setiap 1% susut nilai dolar AS berbanding ringgit akan mengurangkan pendapatan Inari Amertron Bhd, Unisem (M) Bhd, Malaysia Pacific Industries Bhd dan Elsoft Research Bhd masing-masing antara 0.2% hingg 3.7%.

 

"Walaupun begitu, kami optimis terhadap prospek jangka sederhana hingga panjang sektor semikonduktor di Malaysia, disokong oleh pemulihan berterusan dalam permintaan global dan peningkatan peluang lencongan perdagangan yang timbul daripada strategi China Plus One.

 

"Kami percaya pembetulan pasaran baru-baru ini memberikan peluang yang baik kepada pelabur untuk mengumpul stok semikonduktor terlebih jual," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TA Securities berkata, menurut Industri Pengilang Peralatan Semikonduktor (SEMI), perbelanjaan global untuk peralatan fab dijangka mencapai rekod AS$400 bilion dari 2025 hingga 2027, didorong peningkatan fabrikasi semikonduktor dan pertambahan permintaan untuk cip kecerdasan buatan (AI) yang digunakan dalam pusat data dan peranti.  

 

Perbelanjaan global bagi peralatan fab 300mm dijangka meningkat sebanyak 4%, mencecah AS$99.3 bilion pada 2024, dan terus meningkat sebanyak 24% kepada AS$123.2 bilion pada 2025, melepasi paras AS$100 billion untuk kali pertama.

 

Trend itu diunjurkan berterusan, dengan perbelanjaan meningkat sebanyak 11% kepada AS$136.2 bilion pada 2026,

 

diikuti oleh kenaikan 3.0% kepada AS$140.8 bilion pada 2027.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sector itu dan pada masa sama mengekalkan saranan "beli" untuk Inari dengan harga sasaran (TP) RM4.10, Unisem (TP: RM4.20), MPI (TP: RM38.20) dan Elsoft (TP: 58 sen).

 

Katanya, sektor itu diramal terus berdepan pelbagai cabaran termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mengganggu rantaian bekalan, jualan yang lebih lemah daripada jangkaan dan dolar AS semakin lemah berbanding ringgit. - DagangNews.com