Pengukuhan nilai ringgit, RHB Investment semak turun unjuran pendapatan FY25 YTL Power sebanyak 5% | DagangNews Skip to main content

Pengukuhan nilai ringgit, RHB Investment semak turun unjuran pendapatan FY25 YTL Power sebanyak 5%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt -RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan YTL Power International Bhd sebanyak 5% pada FY25 disebabkan pengukuhan nilai ringgit.

 

Katanya, pelasaran itu dibuat apabila ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura serta pound sterling, mata wang di mana PowerSeraya dan Wessex Water beroperasi.

 

Firma peyelidikan itu berkata, harga sasaran berasaskan jumlah bahagian untuk YTL Power diturunkan kepada RM5.68 daripada RM5.94 dan pada masa sama turut mengekalkan saranan "beli" ke atas saham itu.

 

Ringgit yang lebih kukuh dijangka menjejaskan hasil daripada PowerSeraya dan Wessex Water, yang merupakan penyumbang utama kepada pendapatan YTL Power.

 

Peningkatan pendedahan kepada dolar AS juga berkemungkinan, disebabkan pengkomersialan akan datang pusat data kecerdasan buatan (AI-DC) YTL Power.

 

"Pendapatan PowerSeraya dan Wessex Water menyumbang 68% dan 23% daripada jumlah hasil pada FY24.

 

"Kedua-dua perniagaan ini didenominasikan dalam dolar Singapura dan pound sterling. 

 

"Melangkah ke hadapan, kami menganggarkan kedua-dua perniagaan ini akan terus menyumbang sebahagian besar kepada hasil YTL Power tetapi kumpulan itu mungkin dapat melihat pendedahan hasil yang lebih tinggi dalam dollar AS apabila hasil AI-DC diiktiraf," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, kos bahan mentah PowerSeraya adalah dalam dolar AS manakala sebahagian besar kos Wessex Water adalah dalam pound sterling.

 

Sementara itu, keuntungan syarikat bersekutu daripada projek loji janakuasa YTL Power Jordan dan Indonesia dan pendapatan faedah daripada pinjaman pemegang saham yang juga dalam dolar AS.

 

"Selain itu, hasil perkhidmatan kolokasi adalah sama ada dalam ringgit dan dolar AS bergantung pada pelanggan tetapi  sebahagian besar kos didenominasikan dalam ringgit. Hasil dan kos AI-DC berkemungkinan besar dalam denominasi dolar AS," tambahnya.

 

Firma penelidikan itu mengekalkan pandangan positif terhadap potensi pendapatan jangka panjang YTL Power, terutamanya daripada pembangunan AI-DC, dengan menyatakan "penilaian tidak menuntut" pada 10 kali nisbah harga kepada pendapatan FY26, di bawah purata lima tahun sebanyak 12 kali.- DagangNews.com