Operasi Maybank di Singapura diramal terjejas kesan pemotongan kadar Rizab Persekutuan AS, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Operasi Maybank di Singapura diramal terjejas kesan pemotongan kadar Rizab Persekutuan AS, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - Pemotongan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan turun naik mata wang dijangka memberi kesan kepada operasi Malayan Banking Bhd (Maybank) di Singapura.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, Maybank Singapura merupakan pembiaya kelima terbesar di negara itu dengan bahagian pasaran 3% hingga 4%, menyumbang kira-kira 25% hingga 27% daripada keuntungan kasar kumpulan itu.

 

"Pengurangan 25 mata asas dalam kadar penanda aras Amerika Syarikat (AS) boleh mengecilkan margin faedah bersih (NIM) Maybank sebanyak dua mata asas.

 

"Kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM10.80 sesaham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Di sebalik cabaran jangka pendek itu, HLIB tetap optimis tehadap prospek bank itu dengan kehadiran yang kukuh di Singapura dan Indonesia selain berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang dalam koridor Malaysia-Singapura.

 

“Bank itu akan memberi fokus kepada pengembangan segmen korporat pertengahan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui peluang yang terdapat dalam koridor Malaysia-Singapura selain mendorong pembiayaan Islam.

 

"Selain itu, ia menyasarkan lebih banyak perniagaan pengurusan kekayaan dan mengembangkan sumbangan kepada 26% daripada 21%; Maybank berhasrat untuk terus mengembangkan AUM (aset di bawah pengurusan) dan mengagihkan pelanggan kaya yang berpotensi tinggi,” katanya.

 

Sementara itu, Kenanga Research menyuarakan sentimen yang sama, dengan mereka mengekalkan saranan "outperform", TP RM11.95, memetik keyakinan prestasi keseluruhan Maybank.

 

Walaupun firma peyelidikan itu menyatakan landskap kompetitif di Indonesia memberikan cabaran, termasuk pertumbuhan pinjaman yang tidak menentu dengan penurunan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) lima tahun sebanyak 1.1%, Maybank Indonesia menjangkakan peningkatan berurutan apabila kualiti aset semakin stabil.

 

"Kumpulan itu percaya situasi terburuk telah berakhir dan mungkin melihat peningkatan ketara," katanya.- DagangNews.com