KUALA LUMPUR 19 Dis - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), ES Sunlogy Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan dengan M & A Securities Sdn Bhd dalam perjalannya menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.
Berdasarkan prospektus yang diterbitkan di laman web Bursa Securities, pelaksanaan penyenaraian ES Sunlogy melibatkan terbitan awam sebanyak 140 juta saham baharu, mewakili 20% modal saham syarikat yang diperbesarkan sebanyak 700 juta saham, dan tawaran untuk jualan sebanyak 70 juta saham, mewakili 10% modal saham yang diperbesarkan.
Sejumlah 35 juta saham terbitan mewakili 5% modal saham syarikat yang diperbesarkan dengan 2.5% daripadanya akan disediakan kepada pelabur awam dan 2.5% kepada pelabur awam Bumiputera
Sebanyak 17.5 juta saham terbitan mewakili 2.5% daripada modal saham syarikat yang diperbesarkan untuk diperuntukkan kepada orang yang layak menerusi peruntukan Borang Merah Jambu.
Sementara itu, 87.5 juta saham terbitan mewakili 12.5% daripada modal saham syarikat yang diperbesarkan dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Di bawah perjanjian taja jamin, M&A akan menaja jamin 52.5 juta saham terbitan untuk disediakan untuk permohonan oleh orang ramai Malaysia melalui pengundian awam dan Peruntukan Borang Merah Jambu.
Pengarah Urusan ES Sunlogy, Khor Chuan Meng, berkata, dengan rekod prestasi yang kukuh dalam menyampaikan perkhidmatan kejuruteraan M&E berkualiti tinggi dan portfolio projek tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin berkembang selain berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat.
Beliau berkata, berdasarkan penyelidikan pasaran bebas, sektor seperti pusat komersial, kediaman, perindustrian, solar dan data menunjukkan keperluan yang semakin meningkat untuk rumusan yang cekap tenaga dan mampan, meletakkan kumpulan itu untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan berkesan.
"Hasil yang akan diperoleh daripada IPO ini akan membolehkan kami mengukuhkan lagi keupayaan teknikal dan mengembangkan portfolio projek sedia ada, selain membolehkan kami mengembangkan jejak kumpulan dalam penjanaan serta penjualan RE," katanya. - DagangNews.com