Perdagangan borong, runcit naik 4.7% kepada RM149.2 billion pada Ogos 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Perdagangan borong, runcit naik 4.7% kepada RM149.2 billion pada Ogos 2024 - DOSM

KUALA LUMPUR 11 Okt - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.7% tahun ke tahun dengan nilai jualan pada Ogos 2024 berjumlah RM149.2 bilion, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

 

Ketua Perangkawan ,Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu didorong oleh subsektor perdagangan runcit, yang meningkat 5.9% kepada RM64.1 bilion.

 

Subsektor kenderaan bermotor turut mencatatkan pertumbuhan ketara, meningkat 4.1% kepada RM18.9 bilion manakala perdagangan borong berkembang 3.7% kepada RM66.2 bilion.

 

“Dari segi perbandingan secara bulanan, sektor ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1%, mencerminkan permintaan pengguna yang berterusan dan keadaan pasaran yang stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

dosm

 

Mohd Uzir berkata, jualan runcit di kedai bukan pengkhususan mendahului kumpulan lain dalam subsektor ini, menyumbang RM24.8 bilion dengan kenaikan 7.8% tahun ke tahun dan pertumbuhan 1.4% bulan ke bulan.

 

Jualan runcit makanan, minuman dan tembakau turut menunjukkan prestasi baik, mencatatkan jualan sebanyak RM4.1 bilion, dengan peningkatan 6.8% tahun ke tahun dan
1.3% bulan ke bulan.

 

Sementara itu, jualan runcit bahan api kenderaan mencatatkan peningkatan stabil, meningkat 5.3% tahun ke tahun dan 0.6% bulan ke bulan untuk mencecah RM6 bilion, katanya.

 

Beliau berkata, jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup menyumbang RM6.2 bilion, dengan peningkatan kukuh sebanyak 7.8% tahun ke tahun walaupun terdapat sedikit penurunan bulanan sebanyak -0.3%.

 

Menurut Mohd Uzir, bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini bertumbuh 6.5% tahun ke tahun pada Ogos 2024 berbanding 5.7% pada Julai 2024.

 

Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menokok 4.7% berbanding bulan sebelum, katanya.

 

Setelah menolak kesan perubahan harga, indeks volum perdagangan borong dan runcit bagi Ogos 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.8%.

 

“Pengembangan ini disumbangkan oleh perdagangan runcit yang mencatatkan pertumbuhan 4%, diikuti oleh perdagangan borong (3.8%) dan kenderaan bermotor (2.8%).

 

“Namun, bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun sebanyak -2.9% bulan ke bulan,” kata Mohd Uzir. - DagangNews.com