Perdana Petroleum raih kontrak RM7.3 juta daripada RUHM Marine bagi penyewaan kapal | DagangNews Skip to main content

Perdana Petroleum raih kontrak RM7.3 juta daripada RUHM Marine bagi penyewaan kapal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Perdana Petroleum Bhd memperoleh kontrak RM7.3 juta untuk sewa kapal tunda pengendalian sauh (AHTS)

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, mereka menandatangani perjanjian penyewaan itu bersama RUHM Marine Sdn Bhd pada 30 Ogos 2024, dengan perjanjian tambahan dimuktamadkan pada 10 Oktober.

 

Katanya, kumpulan itu akan menyediakan kapal AHTS, lengkap dengan anak kapal dan peralatan, untuk perkhidmatan berterusan 24 jam.

 

"Kapal itu akan membantu dan menyokong operasi yang berkaitan dengan pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, tongkang derik, menunda, dan pengendalian sauh di wilayah Sarawak," katanya.

 

Perdana Petroleum berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Terdahulu, kumpulan itu memperoleh dua pesanan kerja tambahan bernilai RM19.1 juta untuk penyediaan dua bot kerja penginapan.

 

Tempahan kerja itu adalah urus niaga pihak berkaitan, kerana Dayang Enterprise Holdings Bhd memegang 63.59% kepentingan dalam kumpulan itu.- DagangNews.com