Pertumbuhan KDNK negara dijangka melebihi 5% pada 2024 - Maybank IB  | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan KDNK negara dijangka melebihi 5% pada 2024 - Maybank IB 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berada pada landasan untuk melebihi 5% pada tahun ini walaupun menghadapi ketidaktentuan luaran, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB) 

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan luaran tetapi permintaan dalam negeri yang kukuh akan mengimbangi risiko.

 

Maybank IB mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK benar 2024 sebanyak 5.2%, tetapi mengurangkan ramalan pertumbuhan 2025 kepada 4.9% daripada 5.1%. 

 

Katanya, ia menurunkan unjurannya berdasarkan ketidaktentuan luaran yang meningkat berikutan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Amerika Syarikat  (AS) pada 5 November 2024. 

 

"Trump merupakan faktor risiko terbesar untuk prospek pertumbuhan adalah dasar perdagangan AS kerana "Trump 2.0" menjanjikan tarif yang lebih tinggi pada semua import dari China.

 

"Kami menganggarkan "kitaran naik pelaburan" Malaysia yang kukuh akan mengurangkan risiko luaran,  disokong oleh pelaksanaan pelaburan serta projek dan inisiatif di bawah Ekonomi Madani," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Pada masa yang sama, perbelanjaan pengguna akan dirangsang oleh Bajet 2025 disebabkan semakan gaji dan pencen perkhidmatan awam serta gaji minimum. 

 

"Peruntukan yang lebih tinggi kepada kumpulan pendapatan yang lebih rendah, ditambah dengan semakan naik harga minyak sawit mentah (MSM) pada 2025 iaitu RM4,000 setiap tan daripada RM3,700 akan mendorong lagi pertumbuhan KDNK pada 2025," katanya. - DagangNews.com