Peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM100 juta sasar pupuk inovasi kewangan Islam - BNM | DagangNews Skip to main content

Peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM100 juta sasar pupuk inovasi kewangan Islam - BNM

Kewangan Islam berpotensi untuk menggiatkan semula ekonomi melalui tiga prinsip teras iaitu Maqasid Syariah, inovasi dan integrasi global - Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov - Peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM100 juta bagi mempromosikan inovasi kewangan Islam baharu menandakan komitmen kukuh kerajaan untuk memupuk inovasi kewangan, gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

 

Beliau menggesa industri yang berkaitan untuk mengambil peluang itu bagi mengukuhkan inovasi melalui penawaran produk perkongsian risiko, terutamanya dalam membiayai peralihan iklim dan inisiatif keselamatan makanan.

 

Abdul Rasheed berkata demikian semasa majlis pelancaran Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2024 (KLIFF 2024) ke-19 di Kuala Lumpur hari ini.

 

Sorotan utama KLIFF 2024 termasuk Forum Utama KLIFF ke-19 dan Forum Syariah KLIFF ke-17, atau Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2024 pada 7 November 2024.

 

Forum tersebut menyasar menjadi platform perdebatan, wacana dan rumusan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman, sambil meningkatkan daya tarikan penjenamaan dan mendekati pemimpin kewangan Islam di rantau Asia Pasifik.

 

Abdul Rasheed juga berkata, kewangan Islam berpotensi untuk menggiatkan semula ekonomi melalui tiga prinsip teras iaitu Maqasid Syariah, inovasi dan integrasi global.

 

Beliau menyifatkan prinsip tersebut akan menerapkan Maqasid Syariah dalam pembaharuan ekonomi dan mampan, memajukan inovasi dalam rumusan berasaskan nilai dan meningkatkan integrasi global dalam pembangunan  dan kemakmuran bersama.

 

“Industri kewangan Islam Malaysia telah melonjak ke hadapan lebih setengah dekad lalu untuk menerima Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI).

 

"Pelaksanaan VBI yang lebih kukuh memerlukan usaha bersepadu dan penjajaran holistik merentas semua pemegang kepentingan utama.

 

"Khususnya, pengawasan pemegang saham adalah penting untuk memastikan impak transformatif kewangan berasaskan nilai dilihat dan dirasai secara meluas," katanya.

 

Mengenai integrasi global, Abdul Rasheed berkata, perkembangan pesat pasaran kewangan Islam global menarik bilangan pelabur antarabangsa dan memacu pertumbuhan ekonomi merentasi pelbagai rantau, termasuk pasaran baru muncul seperti Filipina, Asia Tengah dan Asia Utara.

 

"Sementara tu, pemain kewangan Islam boleh mengembangkan jejak mereka dan jangkauan global, menggalakkan pelaburan dan kerjasama rentas sempadan yang lebih besar dengan memanfaatkan peluang ini," katanya.- DagangNews.com