PGF Capital catat untung teras RM16.2 juta pada 1HFY25 didorong permintaan tinggi produk penebat bulu kaca  | DagangNews Skip to main content

PGF Capital catat untung teras RM16.2 juta pada 1HFY25 didorong permintaan tinggi produk penebat bulu kaca 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Okt - Keuntungan teras PGF Capital Bhd pada separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25) mencecah sebanyak RM16.2 juta didorong oleh permintaan produk penebat bulu kaca yang lebih tinggi daripada jangkaan, kata TA Securities. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras PGF menjangkaui ramalannya iaitu RM12.4 juta sehingga RM14.4 juta.

 

Katanya, keuntungan teras 1HFY25 meningkat lebih daripada lima kali ganda berdasarkan hasil yang lebih tinggi dan margin yang lebih kukuh.

 

"Keuntungan teras PGF menyaksikan peningkatan sebanyak 41.4% kepada RM82.9juta disokong oleh permintaan produk penebat bulu kaca, yang menaikkan 14% dalam margin PBT didorong oleh kecekapan pengeluaran. 

 

"Dari segi suku ke suku (QoQ), PGF mencatatkan keuntungan teras pada 2QFY25 pada  RM9.7 juta berbanding RM6.4 juta pada suku sebelumnya. 

 

"Prestasi yang baik itu didorong oleh kekurangan bekalan perumahan di Australia, yang membawa kepada permintaan kukuh untuk bahan binaan.

 

"Bagi suku ini, syarikat mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2 sen sesaham, yang akan dibayar pada 29 November 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

TA Securities menjangkakan permintaan penebat bulu kaca kekal kukuh di Australia memandangkan kerajaannya sedang meningkatkan bekalan perumahan. 

 

Katanya, di peringkat tempatan pula, permintaan penebat bulu kaca akan didorong oleh pelaksanaan projek infrastruktur seperti LRT dan lapangan terbang di Pulau Pinang.

 

"Belanjawan 2025 akan menumpukan perkembangan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim yang diterajui oleh Proton dan Geely.

 

“Oleh itu, kami berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pulang berita baik selepas bertemu dengan Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang di China pada bulan depan.

 

"Ini dijangka merangsang permintaan perumahan di Tanjung Malim, yang akan menjadi petanda baik bagi projek perumahan PGF bersebelahan dengan AHTV," katanya. 

 

Sementara itu, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap PGF dengan harga sasaran (TP) RM2.76 sesaham.- DagangNews.com