Phillip Capital mulakan liputan ke atas BM Greentech dengan saranan 'beli', TP RM2.65 sesaham | DagangNews Skip to main content

Phillip Capital mulakan liputan ke atas BM Greentech dengan saranan 'beli', TP RM2.65 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - Phillip Capital memulakan liputan ke atas BM Greentech Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Boilermech Holdings Bhd dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM2.65 sesaham.

 

Katanya, kumpulan itu merupakan pemain industri tenaga boleh diperbaharui (RE) terkemuka yang menawarkan rumusan tenaga mampan melalui kepakaran bio-tenaga dan rawatan air.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sejajar dengan objektif kemampanan alam sekitar global dan matlamat RE Malaysia, kumpulan itu berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan sasaran negara bagi mencapai kapasiti RE sebanyak 70% menjelang 2050.

 

"Ini disokong oleh inisiatif kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan program seperti Net Energy Metering (NEM), serta projek RE skala utiliti, termasuk Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) dan Solar Skala Besar (LSS).

 

"Dengan BM Greentech mengorak langkah dalam rumsan tenaga hijau, syarikat itu bersedia untuk menarik minat pelabur yang semakin meningkat dan mewujudkan dirinya sebagai pelaburan ESG terkemuka dengan prospek pertumbuhan yang kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini

 

Phillip Capital berkata, segmen bio-tenaga merupakan penyumbang keuntungan terbesarnya, menyumbang 70% daripada keseluruhan keuntungan kasar.

 

Katanya, pengambilalihan Plus Xnergy Holding (PXH) baru-baru ini mengukuhkan kedudukannya dalam sektor solar, membolehkan BM Greentech meluaskan kehadirannya merentasi rantaian nilai dan melibatkan diri secara lebih aktif dalam inisiatif solar kerajaan.

 

"Kami menyukai kumpulan itu kerana prospek pertumbuhannya yang menarik, pasaran boleh ditangani yang besar didorong oleh inisiatif NETR dan kedudukan unik sebagai peluang pelaburan ESG yang terhad.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk perubahanatau kelewatan tidak dijangka dalam dasar kerajaan dan turun naik harga bahan mentah," katanya.- DagangNews.com