Rizab antarabangsa BNM susut sedikit kepada AS$119.6 bilion pada 15 Oktober 2024 | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM susut sedikit kepada AS$119.6 bilion pada 15 Oktober 2024

KUALA LUMPUR 22 Okt - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) susut sedikit kepada AS$119.6 bilion pada 15 Oktober 2024 berbanding dengan AS$119.7 bilion pada 30 September 2024.

 

Paras rizab itu memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek, menurut BNM dalam kenyataan hari ini.

 

Komponen utama rizab antarabangsa itu meliputi rizab mata wang asing (AS$106.6 bilion), rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.9 bilion), emas (AS$3.3 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.5 bilion).

 

Jumlah aset sebanyak RM596.87 bilion yang meliputi emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM491.64 bilion), Kertas Kerajaan Malaysia (RM12.81 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM4.53 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM25.65 bilion), tanah dan bangunan (RM4.11 bilion) serta aset lain (RM58.14 bilion).

 

BNM menjelaskan, modal dan liabiliti berjumlah RM596.87 bilion merangkumi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM177.39 bilion), mata wang dalam edaran (RM165.20 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM138.12 bilion), deposit oleh kerajaan Persekutuan (RM8.45 bilion), deposit lain (RM65.19 bilion), Kertas Bank Negara (RM12.22 bilion), peruntukan SDR (RM27.22 bilion) dan liabiliti lain (RM2.98 bilion).- DagangNews.com