Phillip Capital mulakan liputan ke atas Pekat Group dengan saranan 'beli', TP RM1.15 sesaham | DagangNews Skip to main content

Phillip Capital mulakan liputan ke atas Pekat Group dengan saranan 'beli', TP RM1.15 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Phillip Capital memulakan liputan ke atas Pekat Group Bhd dengan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham.

 

Katanya, kehadiran kukuh kumpulan itu dalam sektor pertumbuhan tinggi membolehkannya memperoleh kelebihan daya saing dan menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dalam landskap tenaga Malaysia yang semakin berkembang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu pakar dalam memasang sistem solar fotovoltaik (PV) dan menyediakan sistem perlindungan kilat dan pembumian (ELP).

 

"Rekod prestasi Pekat dalam menyampaikan sistem solar PV atas bumbung meletakkan syarikat untuk menjadi penerima manfaat berterusan daripada perkembangan berterusan dalam program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), serta pelbagai projek solar skala utiliti, termasuk Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) dan projek solar berskala besar 5 (LSS5) akan datang.

 

"Pertumbuhan bahagian ELP didorong peningkatan dalam pelaburan pusat data (DC) dan projek infrastruktur awam seperti LRT Pulau Pinang, LRT/ART Johor dan MRT3," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Phillip Capital berkata, pemerolehan strategik EPE Switchgear membolehkan Pekat meraih lebih banyak peluang pertumbuhan, terutamanya apabila Tenaga Nasional Bhd (TNB) melakukan peningkatan kepada infrastruktur grid.

 

Pertumbuhan ini didorong lagi oleh penggunaan tenaga oleh diperbaharui (RE) yang semakin meningkat, permintaan elektrik yang semakin meningkat, dan lonjakan pelaburan dalam DC.

 

"Kami mengunjurkan Pekat mencapai CAGR tiga tahun yang kukuh sebanyak 43% sepanjang 2023 hingga 2026, disokong oleh buku pesanan RM564 juta, perniagaan teras yang memanfaatkan pertumbuhan struktur segmen solar dan DC, kelebihan sinergi dan prospek penambahan semula yang menjanjikan yang akan meningkatkan lagi potensi pertumbuhannya," katanya. - DagangNews.com