Prestasi ekonomi negara diramal berdaya tahan walaupun pengeluaran dijangka menyederhana - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Prestasi ekonomi negara diramal berdaya tahan walaupun pengeluaran dijangka menyederhana - TA Securities

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Jan - Prestasi ekonomi Malaysia diyakini berdaya tahan, didorong oleh pertumbuhan teguh dalam sektor utama dan pasaran buruh yang sihat walau bagaimanapun, pengeluaran dijangka menyederhana, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penyederhanaan itu didorong oleh kelembapan dalam sektor pembuatan dan elektrik pada suku terakhir 2024.

 

“Kedua-dua sektor itu mencatatkan kadar pertumbuhan tahun ke tahun masing-masing sebanyak 3.9% dan 2.9%, menandakan penurunan daripada kadar pertumbuhan lebih  pada suku ketiga 2024.

 

"Ini menunjukkan potensi penurunan dalam pengembangan keluaran dalam negeri kasar (KDNK), iaitu 5.3% YoY pada 3Q24.

 

"Bagaimanapun, terdapat peningkatan yang ketara dalam sektor perlombongan. 

 

"Penguncupan sektor perlombongan mengecil kepada 1.8% dalam tempoh Oktober hingga November, peningkatan ketara daripada penurunan 5.8% pada 3Q24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 


Pada November 2024, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 3.6% YoY kepada 136.5 mata, melebihi anggaran konsensus sebanyak 2.5% YoY. 

 

Sektor pembuatan, yang membentuk 65.9% bahagian IPI meningkat sebanyak 4.2% YoY pada bulan tersebut. 

 

Katanya, pertumbuhan dalam sektor ini didorong oleh prestasi stabil industri berorientasikan eksport, yang meningkat sebanyak 5.6% YoY berbanding dengan keuntungan 3.3% YoY sebelum ini.

 

Sementara itu, industri dalam negeri meningkat sederhana sebanyak 2.6% YoY, lebih perlahan daripada Oktober 3.3% YoY.

 

"Kami mengalihkan tumpuan kami kepada pendahuluan anggaran KDNK yang dijadualkan pada 17 Januari untuk mendapatkan pemahaman yang lebih tepat tentang angka KDNK sebenar bagi suku akhir 2024, yang akan dikeluarkan pada bulan Februari.

 

"Angka-angka awal ini dijangka menawarkan pandangan tentang pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. 

 

"Kami mengekalkan unjuran KDNK kami untuk suku keempat pada 4.7% YoY, dengan unjuran tahunan keseluruhan 5% pada 2024," katanya. - DagangNews.com