KUALA LUMPUR 22 Jan - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mengalu-alukan program latihan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C) percuma yang bakal memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata, program tersebut dapat membantu PKS melindungi pekerja mereka dengan lebih baik dan memupuk budaya keselamatan.
“Dengan melengkapkan PKS dengan pengetahuan bagi melaksanakan amalan OSH-C, ia akan membina persekitaran tempat kerja selamat dan membentuk tenaga kerja yang berdaya tahan.
“Walaupun program ini memainkan peranan penting dalam ekonomi, PKS sering menghadapi cabaran seperti sumber kewangan dan tenaga manusia yang terhad berbanding syarikat yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata, jurang sebegini boleh menghalang keupayaan PKS melaksanakan amalan keselamatan.
"Oleh itu, program OSH-C ini menyasar untuk merapatkan jurang tersebut dan memberi peluang untuk PKS memanfaatkannya," katanya.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengumumkan latihan akreditasi OSH-C percuma untuk 10,000 orang, membabitkan peruntukan RM9 juta pada Selasa.
Thian Lai berkata sistem OSH-C yang dilaksanakan dengan baik menunjukkan komitmen syarikat terhadap kebajikan pekerja dan sejajar dengan standard global.
"Memiliki penyelaras OSH-C bukan sahaja memenuhi keperluan utama di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, ia juga penting untuk menerapkan pendekatan proaktif terhadap keselamatan di tempat kerja, terutamanya dalam kalangan PKS.
"Program ini juga dpat melatih PKS mengenal pasti potensi risiko dan cara menanganinya yang seterusnya mewujudkan persekitaran selamat untuk pekerja.
"Selain itu, program ini juga dapat meminimumkan gangguan di tempat kerja, menghasilkan operasi harian lancar dan produktiviti lebih baik.
"Kami menggesa semua PKS yang layak untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini," katanya. - DagangNews.com