KUALA LUMPUR 21 Nov - Prospek jualan baharu UOA Development dijangka stabil dan lebih baik didorong oleh hasil jualan Bamboo Hills Residence dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion.
MIDF Research berkata, pendapatan berulang daripada pelaburan hartanah dan aset hospitalitinya akan terus menyokong pertumbuhan pendapatan UOA.
Katanya, hasil 9MFY24 UOA pada RM158.8 juta sejajar dengan anggaran tahunan.
"UOA mencatat hasil jualan sebanyak RM790 juta pada tempoh itu didorong oleh Bamboo Hills Residence dan Aster Hills yang masing-masing menyumbang 58% dan 30% kepada pendapatan UOA.
"Melihat ke hadapan, kami menjangkakan momentum jualan baharu UOA akan kekal stabil dibantu oleh jualan Bamboo Hills Residence kerana lokasi projek yang baik dan harga jualan mampu milik bermula dari RM400,000," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Di samping itu, firma tersebut meramalkan jualan hartanah baharu UOA yang lebih kukuh pada FY24.
"Sebaliknya, jualan belum dibil meningkat kepada RM524.6 juta pada 3QFY24 daripada RM368.7 juta pada suku sebelumnya, yang diapcu oleh projek pusat perubatan di Bangsar South.
"Berdasarkan ramalan prospek jualan baharu pada FY24, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas UOA dengan harga sasaran (TP) RM2.06 sesaham," katanya.- DagangNews.com