Puspakom kemuka permohonan rombak kadar caj perkhidmatan kepada Kementerian Pengangkutan | DagangNews Skip to main content

Puspakom kemuka permohonan rombak kadar caj perkhidmatan kepada Kementerian Pengangkutan

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman
Oleh JOHARDY IBRAHIM

SHAH ALAM 26 Nov - Puspakom telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pengangkutan untuk merombak kadar caj perkhidmatan di pusat-pusat pemeriksaan kenderaannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, kadar caj perkhidmatan ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan.

 

Difahamkan kali terakhir caj perkhidmatan Puspakom antara RM30 hingga RM90 sekarang dirombak ialah pada tahun 2007.

 

"Kita telah mengemukakan cadangan rombakan harga kepada kerajaan," kata beliau ketika ditanya DagangNews.com pada sesi majlis makan tengahari dengan media di sebuah hotel di sini hari ini.

 

Pada majlis yang sama, Mahmood Razak yang dilantik ke jawatan CEO pada Oktober 2023 membentangkan rancangan Puspakom mengguna pakai dan menyepadukan teknologi canggih ke dalam proses pemeriksaan kenderaan, sekali gus meletakkan syarikat itu sebagai peneraju transformasi di dalam industri tersebut.

 

"Dengan penyepaduan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar, proses pemeriksaan baharu Puspakom menjanjikan kaedah yang lebih tepat, cepat dan telus daripada sebelum ini, membolehkan pengalaman perkhidmatan lancar bagi semua pengguna.

 

" Pendekatan berfikiran ke hadapan kami dijangka memberikan nilai besar kepada pengguna dan perniagaan dengan mengembalikan produktiviti kepada mereka menerusi penjimatan masa.

 

"Peralihan daripada konsesi kepada pemegang lesen bukan sahaja berkaitan menyesuaikan diri, ia adalah mengenai menetapkan penanda aras baharu dari segi keselamatan, kemampanan alam sekitar dan kecekapan ekonomi.

 

"Kami teruja melancarkan inisiatif baharu kami ini, yang mengguna pakai AI dan teknologi generasi masa hadapan bagi merevoluasikan pemeriksaan kenderaan," kata Mahmood.

 

 

puspakom

 

 

Menurut beliau, peralihan syarikat itu kepda persekitaran persaingan syarikat berlesen adalah peluang besar untuk mendefinisi semula piawaian kenderaan di seluruh negara.

 

Mahmood turut membentangkan tiga teras panduan baharu Puspakom yang mencerminkan nilai, matlamat dan tujuan syarikat iaitu Keselamatan, Alam Sekitar dan Ekonomi.

 

"Walaupun Puspakom lazimnya dikenali sebagai perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, kewujudannya memberi impak kepada semua rakyat Malaysia.

 

"Menerusi tiga teras panduan ini, tugas syarikat menyentuh kehidupan semua pengguna jalan raya, menyumbang kepada alam sekitar lebih bersih dan menyokong kelancaran fungsi ekonomi Malaysia," jelas beliau. - DagangNews.com