KUALA LUMPUR 26 Sept - RHB Investment meramalkan MyNews Holdings Bhd mencatatkan peningkatan pendapatan lebih ketara pada 4QFY24 dipacu pertumbuhan jualan kukuh dan usaha pengoptimuman kos berterusan.
Katanya, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM2.62 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), pemulihan daripada kerugian bersih RM2.16 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil syarikat meningkat 11.7%, mencecah RM207.5 juta, berbanding RM185.79 juta sebelum ini.
Keuntungan teras 9MFY24 adalah sebanyak RM8 juta menepati 63% anggaran RHB Investment dan 80% ramalan konsensus untuk tahun tersebut.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan, kerugian CU akan terus mengecil dan mencapai titik pulang modal menjelang akhir FY24, disokong oleh usaha pengoptimuman kos berterusan dan penyatuan pengurusan bersama MyNews.
Katanya, volum jualan yang lebih baik daripada pelbagai produk yang dipertingkatkan dan pengembangan akan mengekalkan pemulihan pusat pemprosesan makanan (FPC) pada masa hadapan.
"Pengurusan mengenal pasti peluang di Pantai Timur dan merancang untuk mengembangkan kehadiran jenamanya di sana, mengambil kesempatan daripada kos operasi yang lebih rendah dan permintaan yang belum diterokai.
"Selain itu, cawangan Maru Coffee pertama dijadualkan dibuka pada 4QFY24 untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tawaran kopi dan makanan segarnya," katanya dalam satu nota kajian.
Jenaman CU berjaya menembusi Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan pembukaan empat cawangan di Pahang, satu cawangan di Terengganu dan empat cawangan di Kelantan.
"Pembukaan kedai baharu di bahagian lain negara ini sedang berjalan, manakala kedai sedia ada ditambah baik dan dirombak apabila perlu," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 61 sen sesaham. - DagangNews.com