KUALA LUMPUR 22 Nov - Kumpulan Perbankan RHB menandatangani perjanjian jaminan portfolio bernilai RM400 juta dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam membantu mereka beralih ke arah ekonomi rendah karbon.
Perjanjian tersebut termasuk peruntukan RM100 juta kepada Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF), menandakan jaminan portfolio LCTF pertama di Malaysia.
Kumpulan itu berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada strategi korporat "Together We Progress 2024" (TWP24) yang menggariskan komitmen kumpulan terhadap kemampanan.
"Sehingga Jun 2024, RHB telah meluluskan lebih RM411 juta pembiayaan untuk PKS di bawah program LCTF Bank Negara Malaysia, menunjukkan kemajuan ketara ke arah matlamat pembiayaan kemampanan.
"Perjanjian itu menawarkan perlindungan kepada PKS sehingga 80% dijamin daripada CGC dan pilihan pembiayaan sehingga RM5 juta.
"Terdapat empat kategori pembiayaan yang sejajar dengan kemampanan, termasuk pembiayaan tenaga boleh diperbaharui, pembiayaan harta komersial, pembiayaan modal kerja dan pembiayaan CAPEX hijau untuk peralatan dan jentera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, kerjasama yang menyediakan sokongan kewangan dan perlindungan risiko itu akan membolehkan PKS menyumbang kepada agenda pertumbuhan hijau Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak menekankan peranan institusi kewangan dalam menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon.
"Dengan mengurangkan risiko bagi Institusi Kewangan (FI) dan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) melalui jaminan CGC, PKS berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mendapatkan pembiayaan dan mengamalkan amalan mampan," katanya.
Sementara itu, RHB telah menetapkan sasaran untuk memperuntukkan RM1.6 bilion dalam pembiayaan hijau menjelang akhir tahun dan telah mencapai 59% daripada sasaran ini menjelang pertengahan 2024.- DagangNews.com