Ringgit mengukuh sebanyak 5.03% berbanding dolar AS, kata Menteri Kewangan II | DagangNews Skip to main content

Ringgit mengukuh sebanyak 5.03% berbanding dolar AS, kata Menteri Kewangan II

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Nov - Sehingga 4 November 2024, ringgit telah mengukuh sebanyak 5.03% berbanding dolar Amerika Syarikat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Pada masa sama, beliau berkata, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang negara serantau iaitu sebanyak 13.3% berbanding Yen, 12.2% berbanding Won, 7.5% berbanding Rupiah, dan 3.7% berbanding Baht.

 

Amir Hamzah berkata, dari segi perkembangan global, perubahan jangkaan kadar dasar monetari yang lebih rendah di ekonomi utama global, khususnya di AS telah menyumbang kepada pengukuhan ringgit. 

 

"Faktor global seperti pergolakan geopolitik di Asia Barat dan pilihanraya di AS turut menyumbang kepada turun naik pasaran kewangan global termasuk ringgit dan mata wang negara yang pesat membangun (emerging market currencies)," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta penjelasan Menteri Kewangan mengenai nilai matawang ringgit berbanding Dollar AS dan matawang asing negara lain.

 

Amir Hamzah berkata, selain perkembangan luaran, ekonomi Malaysia juga sedang berkembang dengan baik, setakat suku ketiga 2024, ekonomi Malaysia berkembang secara purata sebanyak 5.1%, termasuk anggaran awalan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku ketiga 2024 sebanyak 5.3%. 

 

Beliau berkata, ekonomi negara dijangka mencatat perkembangan antara 4.8% hingga 5.3% untuk keseluruhan tahun 2024. 

 

"Inflasi masih rendah dan terkawal pada 1.8% di bulan September 2024. 

 

"Jumlah FDI yang telah diluluskan separuh tahun pertama tahun ini adalah sebanyak RM160 billion berbanding RM136 bilion pada 2023 dalam tempoh yang sama," katanya.

 

Katanya, prospek positif ekonomi Malaysia ini termasuk komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar di bawah kerangka Madani akan memberi sokongan yang berterusan kepada ringgit.
 

Matlamat kerajaan adalah untuk memastikan bahawa ringgit didagangkan dalam keadaan teratur. 

 

"Oleh yang demikian, Bank Negara Malaysia sentiasa bersedia mengambil langkah dalam pasaran pertukaran asing (FX Intervention) untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan," katanya. - DagangNews.com