Saham Azam Jaya meningkat 28% semasa penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Saham Azam Jaya meningkat 28% semasa penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia

(Dari kiri) Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Azam Jaya, Chua Chai Hua; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Azam Jaya, Chung Yue Lin; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Azam Jaya, Emmeline Michael Paitin; Pengarah Eksekutif Azam Jaya, Datuk Lo Vun Che; Pengarah Urusan Azam Jaya, Datuk Jonathan Lo Chaw Loong; Pengarah Gantian kepada Tan Sri Joseph dan Ketua Kelestarian dan Inovasi Azam Jaya, Datuk Johannes Lo Chaw Jack; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Azam Jaya, Datuk Anjin Ajik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Nov - Saham Azam Jaya Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini pada RM1, atau peningkatan 28% berbanding tawaran awam permulan (IPO) sebanyak 78 sen seunit.

 

Saham itu meningkat kepada RM1.12, sebelum susut kepada RM1.08 pada 9.05 pagi, selepas lebih 17 juta saham didagangkan. Pada harga terakhirnya, syarikat itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM540 juta.

 

Saham Azam Jaya telah dilanggan oleh pelabur semasa IPO dan selebihnya telah dilanggan sebanyak 23 kali didorong oleh permintaan orang ramai. 

 

Di samping itu, saham baharu yang diperuntukkan kepada orang yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya, manakala penempatan persendirian bagi kedua-dua saham terbitan dan saham sedia ada untuk pelabur terpilih juga telah diambil sepenuhnya.

 

Azam Jaya merupakan pembina infrastruktur jalan raya, termasuk lebuh raya, jambatan, jejambat dan terowong di Sabah. 

 

Syarikat itu kini sedang mengusahakan lapan projek dengan nilai kontrak belum dibil berjumlah RM1.08 bilion.

 

Daripada hasil jualan saham baharu berjumlah RM61.5 juta, Azam Jaya memperuntukkan RM28.4 juta sebagai modal kerja untuk projek pembinaan dan RM20 juta untuk membayar balik pinjaman bank.

 

Syarikat itu juga telah memperuntukkan RM8 juta untuk meningkatkan keupayaan pembinaan dan kecekapan operasi dengan membeli jentera dan peralatan baharu, serta meningkatkan perkakas teknologi. Selebihnya akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Hasil daripada penjualan saham sedia ada, RM39 juta daripadanya akan diserahkan sepenuhnya kepada Pengerusi Azam Jaya, Tan Sri Joseph Lo @ Lo Tain Foh dan anaknya, Datuk Jonathan Lo Chaw Loong yang juga merupakan Pengarah Urusan Azam Jaya.

 

Inter-Pacific ialah penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO.- DagangNews.com