KUALA LUMPUR 14 Nov - SAIC Motor Malaysia mengumumkan pembukaan gudang khas untuk alat ganti MG Motor di Lembah Klang, yang menyokong kedua-dua kenderaan pembakaran dalam (ICE) dan kenderaan elektrik (EV) termasuk model-model popular seperti MG4 EV, MG ZS EV, MG5 Sedan, MG HS SUV, dan MG Cyberster EV Roadster yang akan datang.
Dengan lebih daripada 4,500 SKU dan lebih 22,000 alat ganti yang tersedia, pembukaan gudang baharu itu menegaskan komitmen syarikat untuk memberikan sokongan selepas jualan yang terbaik.
Ia dilaksanakan ketika SAIC Motor Malaysia memperoleh momentum dengan pengijazahan 39 juruteknik bertauliah MG serta memperluas rangkaian pusat servisnya.
Dengan 12 pusat servis yang sudah beroperasi dan 13 lagi bakal dibuka, pemilik MG dapat mengakses perkhidmatan waranti dan pembaikan yang lebih mudah dan berdekatan.
Semua pengedar sah juga dilengkapi dengan stok alat ganti MG yang mencukupi untuk memastikan pelanggan tidak perlu menunggu lama semasa servis dan penyelenggaraan kereta mereka.
Pengarah Urusannya, Emory Qi berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pelanggan atas kepercayaan mereka terhadap kenderaan MG.
"Misi kami adalah untuk memberikan sokongan selepas jualan yang terbaik. Kami juga mahu menawarkan perkhidmatan yang proaktif dan boleh dipercayai, memastikan setiap kenderaan MG diservis dengan segera dan sedia untuk perjalanan," katanya dalam satu kenyataan.
Pembukaan gudang tersebut juga mengukuhkan komitmen MG terhadap kos yang efektif bagi pemilik MG5 Sedan, dengan pakej waranti dan jadual penyelenggaraan yang dapat diramalkan untuk meminimumkan kos.
Waranti kenderaan perbatuan tanpa had selama lima tahun untuk MG5 dan waranti powertrain perbatuan tanpa had selama tujuh tahun, antara yang terbaik di pasaran, direka untuk mengurangkan perbelanjaan jangka panjang sambil memastikan prestasi yang optimum.
Harga dan jadual penyelenggaraan yang telus serta boleh diramal untuk kenderaan MG kini tersedia di gudang alat ganti tersebut, membolehkan pemilik merancang perbelanjaan dengan lebih yakin dan mengelakkan kos yang tidak dijangka.
Untuk pemilik MG4 EV dan MG ZS EV, jaminan bateri 12V selama setahun atau 20,000 kilometer (mana-mana yang dahulu) bersama dengan jaminan kenderaan tujuh tahun tanpa had perbatuan dan jaminan bateri lapan tahun tanpa had perbatuan, memberikan ketenangan fikiran yang lebih kepada semua pemandu MG. - DagangNews.com