KUALA LUMPUR 21 Nov - Sapura Energy Bhd memperoleh kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan luar pesisir pan-Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut dianugerahkan kepada unit milik penuhnya Sapura Fabrication Sdn Bhd.
"Kontrak ini melibatkan penyelenggaraan luar pesisir, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) serta perkhidmatan sambungan dan pentauliahan (HUC) untuk Pakej C2 untuk aset Sarawak (SKA Oil).
"Skop kerja akan meliputi penyediaan tenaga kerja, peralatan, bahan habis pakai dan perkhidmatan lain yang berkaitan kepada medan HUC dan medan hijau termasuk perkhidmatan pengurusan projek, penyeliaan dan kakitangan pembinaan," katanya.
Nilai kontrak lima tahun itu tidak dinyatakan.
Sapura Energy menjangkakan kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 (FY25) dan tahun-tahun berikutnya.
Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu mencatat untung bersih RM76.9 juta bagi enam bulan berakhir 31 Julai 2024 (6MFY24).
Katanya, kerugian pertukaran wang asing (forex) yang tidak menggalakkan kerana kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding Ringgit, ditambah pula dengan kos operasi lebih tinggi dan keuntungan lebih rendah daripada syarikat bersekutu mendorong kepada susutan keuntungan syarikat pada 9MFY2024.- DagangNews.com