Sebanyak 171 aset tentera Malaysia berusia lebih 30 tahun, Dewan Rakyat dimaklumkan | DagangNews Skip to main content

Sebanyak 171 aset tentera Malaysia berusia lebih 30 tahun, Dewan Rakyat dimaklumkan

Kapal TLDM KD Pendekar tenggelam pada Ogos lalu, antara aset usang yang dimiliki negara. - Gambar hiasan
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 23 Okt - Sebanyak 171 unit aset milik ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah melebihi usia 30 tahun, Dewan Rakyat dimaklumkan oleh Kementerian Pertahanan.

 

“Jumlah aset milik ATM yang melebihi 30 tahun secara keseluruhannya ialah 108 unit bagi Tentera Darat, 29 unit bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 34 unit bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).”

 

“Secara asasnya, had usia guna aset-aset keteteraan adalah berbeza mengikut fungsi masing-masing,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan lisannya kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) semasa persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

 

 

Menteri Pertahanan bagaimanapun tidak menjelaskan dengan terperinci jenis-jenis aset milik ATM yang telah melebihi usia 30 tahun.

 

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menjelaskan, laporan lengkap mengenai punca kemalangan dan jumlah kerugian yang dihadapi selepas Kapal Diraja (KD) Pendekar milik TLDM tenggelam pada 25 Ogos lalu hanya boleh ditentukan setelah siasatan rapi selesai.

 

"Berdasarkan laporan terkini, kapal tersebut telah berjaya diapungkan dan kini berada di Yard Tanjung Belungkor," ujarnya.

 

Semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM21.2 bilion, bertambah RM1.4 bilion.

 

Kerajaan kata beliau, akan terus memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia dengan RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu. 

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE – Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutamanya yang punyai kelayakan TVET.

 

Menurut beliau, tumpuan khusus juga diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Pertahanan terima peruntukan RM21.2 bilion, bertambah RM1.4 bilion - PM

 

Awal bulan ini, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dipetik berkata oleh media tempatan bahawa sebanyak 34 buah kapal TLDM telah melepasi had umur penggunaan termasuk 28 daripadanya berusia lebih 40 tahun.

 

“Kini TLDM telah mengoperasikan sebanyak 53 buah kapal dari pelbagai kelas bagi memenuhi keperluan operasi serta rondaan di zon Maritim Malaysia.

 

“Sebahagian daripada kapal-kapal tersebut telah melebihi usia penggunaan yang optimum terhadap keupayaan, teknologi dan kos selenggaraan,” katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari ATM Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting baru-baru ini.

 

Had umur bagi kapal-kapal TLDM mengikut kelas adalah 35 tahun bagi kapal selam dan 30 tahun bagi kapal friget, korvet, kapal logistik, kapal ronda generasi baharu dan hidrografi, kata Panglima ATM.

 

Bagi had umur kapal-kapal yang lebih kecil seperti kapal ronda laju, kapal perang periuk api, kapal layar dan bot tunda pula adalah 24 tahun, katanya. - DagangNews.com