KUALA LUMPUR 18 Okt - Pengeluaran buah tandan segar (BTS) Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) di Sabah dijangka kembali pulih pada FY25 selepas terkena serangan serangga perosak.
AmInvestment Bank Research berkata, hasil BTS kumpulan itu tidak begitu produktif seperti yang dijangkakan pada FY24 kerana terdapat serangan serangga yang menjejaskan pokok kelapa sawit di Sabah.
Firma penyelidikan itu berkata, serangan serangga itu menyebabkan berlakunya kulapuk pada daun yang menghalang proses fotosintesis.
"Kumpulan itu bagaimanapun telah menyelesaikan masalah itu dengan menyuntik ubat ke dalam pokok yang terkena serangan itu.
"Secara keseluruhan, kami mengandaikan pertumbuhan keluaran BTS sebanyak 5% untuk KLK pada FY25 sama seperti FY24," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
AmInvestment berkata, kos pengeluaran minyak sawit mentah dijangka tidak berubah, sekitar RM2,100 bagi setiap tan pada FY25.
Bagaimanapun, mereka menjangkakan berlakunya peningkatan kecil dari segi kos baja dan upah pada FY25 tetapi ia akan diimbangi peningkatan dalam jumlah pengeluaran.
Sementara itu, KLK diramal tidak terjejas dengan ketara sekiranya pembekuan pekerja asing tidak ditarik balik.
"Ini kerana KLK telah mengambil lebih ramai pekerja daripada yang diperlukan. Berdasarkan kawasan tanaman seluas 116,953 hektar di Malaysia, kami menganggarkan KLK mempunyai 11,000 hingga 12,000 pekerja ladang," katanya.
Dalam pada itu, firma penyelidikan itu menganggarkan hasil pembuatan (penapisan dan oleokimia) meningkat sebanyak 60% kepada RM567 juta pada FY25 disokong permintaan yang lebih kukuh dan harga jualan untuk produk oleokimia.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM25.20 sesaham," katanya.- DagangNews.com