Sime Darby Property diramal raih keuntungan lebih baik pada 3QFY24 dipacu margin lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property diramal raih keuntungan lebih baik pada 3QFY24 dipacu margin lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Nov - Sime Darby Property Bhd diramal mencatatkan pendapatan lebih kukuh pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) disokong pengebilan kemajuan yang dipercepatkan dan margin keuntungan yang lebih tinggi, kata CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan positif berikutan jualan berdaya tahan sebanyak RM2.1 bilion yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini yang meningkat 40% daripada separuh pertama 2023.

 

Mereka juga percaya kumpulan itu mungkin mengatasi sasaran jualan baharu FY24 yang disemak semula sebanyak RM3.5 bilion, jika pertumbuhan jualan yang kukuh dikekalkan sehingga 2HFY24.

 

CGS International mengunjurkan, Sime Darby Property boleh menempah jualan baharu sebanyak RM3.9 bilion pada FY24.

 

"Pandangan kami yang lebih yakin adalah berdasarkan kadar pengambilan yang membanggakan bagi projek baharunya yang dilancarkan, di mana projek baharu pada separuh pertama 2024 bernilai RM2.3 bilion telah diterima baik dengan purata pengambilan kira-kira 76%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut CGS International, pemaju hartanah itu sedang membina portfolio hartanah pelaburannya bagi meluaskan aliran pendapatan berulang kepada 30% daripada pendapatan kumpulan menjelang akhir FY25.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pendapatan daripada segmen ini berkembang pesat pada FY24 hingga FY27 dengan penambahan aset baharu termasuk Elmina Lakeside Mall, Senada Mall, pusat data hiperskala (DC) di Elmina Business Park, dan Metrohub 1 dan 2 menjelang akhir FY24.

 

"Kami menganggarkan empat aset baharu itu boleh membawa keuntungan tahunan tambahan selepas cukai sekitar RM118 hingga 129 juta dari FY27 dan seterusnya. Ambil perhatian bahawa segmen hartanah pelaburan menyumbang 5% daripada nilai pasaran aset (RNAV) kami yang disemak semula," katanya.

 

CGS International menjangkakan KL East Mall akan memberikan pendapatan yang lebih baik disokong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi sebanyak 96% pada akhir Jun 2024, daripada 90% pada akhir Disember 2023, dan meningkatkan kadar sewa berikutan pengembalian sewa semula pada akhir 2023.

 

Walaupun pengurusan mungkin mempertimbangkan untuk mengewangkan hartanah pelaburan ini melalui penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT), firma itu tidak menjangka perkara ini akan menjadi kenyataan menjelang akhir FY26, kerana lebih banyak masa diperlukan untuk aset ini matang.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.94 sesaham. - DagangNews.com