SoftwareOne lancar Pusat Kompetensi Awan baharu di Malaysia bantu percepat transformasi digital pelanggan di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

SoftwareOne lancar Pusat Kompetensi Awan baharu di Malaysia bantu percepat transformasi digital pelanggan di Asia Tenggara

Gambar: freepik.com
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Okt - SoftwareOne Holding AG, penyedia rumusan perisian dan awan terkemuka, melancarkan Pusat Kompetensi Awan SoftwareOne dengan kerjasama Amazon Web Services (AWS) di Kuala Lumpur.

 

Pusat baharu itu akan memberikan kepakaran tempatan dan sokongan kepada perniagaan di seluruh Asia Tenggara dalam perkhidmatan cloud AWS, termasuk alat kecerdasan buatan generatif seperti Amazon Bedrock, sebuah perkhidmatan yang diurus sepenuhnya yang menyediakan satu API untuk mengakses dan menggunakan model asas berprestasi tinggi daripada syarikat AI terkemuka serta Amazon Q, pembantu berkuasa AI generatif untuk perniagaan dan pembangun, bagi memacu transformasi digital. 

 

Dengan penubuhan pusat terbabit di Malaysia, SoftwareOne meluaskan lagi rangkaian penyampaian globalnya di pasaran teknologi yang berkembang pesat untuk membantu perniagaan tempatan berinovasi dengan kemajuan teknologi terkini. 

 

Pembukaan Pusat Kompetensi Awan SoftwareOne itu mengikuti pengumuman terbaru AWS tentang pengembangan infrastruktur cloud di Malaysia.

 

Pemimpin Perkhidmatan Wilayah APAC di SoftwareONE, David Tan menyifatkan, pihaknya teruja meneruskan kerjasama melalui pembukaan pusat tersebut, selaras dengan komitmen AWS terhadap Asia dan membolehkan kepakaran serta sumber global SoftwareOne diakses dengan mudah oleh pelanggan tempatan. 

 

Katanya, perusahaan dari pelbagai jenis dapat mempercepat perjalanan digital dengan lebih efisyen, mendapat manfaat daripada sokongan secara langsung dalam pemindahan cloud, pemodenan aplikasi, pengkomputeran pengguna akhir dan FinOps.

 

"AWS komited untuk membantu organisasi global dalam pelbagai industri dengan awan dan teknologi AI yang paling komprehensif dan meluas digunakan di dunia untuk berinovasi, berkembang dan mencapai objektif transformasi perniagaan dan digital mereka dengan berkesan.

 

Pengurus AWS Malaysia, Peter Murray berkata, sebagai Rakan Tier Premier AWS, SoftwareOne berada pada posisi yang baik untuk membantu perniagaan mengadopsi dan mengoptimumkan penggunaan AWS mereka. 

 

"Penubuhan Pusat Kompetensi Awan SoftwareOne di Malaysia selaras dengan matlamat kami untuk memperluas aksesibiliti cloud dan keupayaan pematuhan bagi pelanggan secara tempatan," ujarnya.

 

Pakar di pusat tersebut akan membimbing pelanggan dalam melaksanakan SoftwareOne Landing Zone untuk AWS, sebuah rangka kerja pra-konfigurasi dan diautomasi yang menyediakan asas untuk membina persekitaran AWS yang selamat dan pelbagai akaun. 

 

Dengan infrastruktur cloud, polisi dan garis panduan termasuk perkhidmatan yang diurus secara pusat, direka untuk membantu organisasi dengan cepat menubuhkan persekitaran yang selamat dan boleh diskala dengan set amalan terbaik AWS yang konsisten.

 

Ia juga membantu pelanggan meningkatkan kecekapan operasi persekitaran AWS mereka dengan pengurusan berterusan dari SoftwareOne dan kepakaran dalam melaksanakan penampalan dan kemas kini.

 

Ketua Infrastruktur Teknologi Sun Life Malaysia, Daniel Anand berkata, perjalanan awan syarikatnya melibatkan pemindahan dan pemodenan beban kerja yang rumit dengan garis masa yang ketat dan pihaknya memerlukan rakan kongsi yang tangkas, memahami persekitaran yang kompleks dan boleh bekerjasama rapat dengan pasukan dalamannya. 

 

"SoftwareOne membantu kami melaksanakan rumusan kelas terbaik yang disesuaikan dengan keperluan kami, memastikan peralihan ke awan yang lancar sambil mengekalkan pematuhan dalam membina kes perniagaan terperinci untuk kelulusan lembaga dan selaras dengan rangka kerja dan pematuhan cloud global Sun Life," kata beliau.

 

Pemimpin Global Pusat Kecemerlangan SoftwareOne untuk AWS, Sean Pope menyatakan, pelancaran Pusat Kompetensi Awan SoftwareOne di rantau ini menunjukkan dedikasi berterusan SoftwareOne untuk memperkasakan transformasi digital di seluruh dunia.

 

"Pusat ini akan menjadi asas dalam pengembangan portfolio global kami, meningkatkan kemampuan kami untuk menyampaikan penyelesaian dan sokongan terkini kepada perniagaan di rantau ASEAN," ujarnya. - DagangNews.com