Stellantis lantik DHL Supply Chain sebagai rakan kongsi logistik urus pusat pengedaran di Pelabuhan Klang | DagangNews Skip to main content

Stellantis lantik DHL Supply Chain sebagai rakan kongsi logistik urus pusat pengedaran di Pelabuhan Klang

Dari kiri Pengarah Urusan, DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz dan Ketua Bahagian Alat Ganti & Perkhidmatan Stellantis India & Asia Pasifik, Olivier Torchet pada majlis pemeteraian perjanjian antara DHL Supply Chain dan Stellantis, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Nov - Pengeluar automotif terkemuka dunia, Stellantis, melantik peneraju global dalam logistik kontrak, DHL Supply Chain sebagai rakan logistik untuk menguruskan pusat pengedaran bahagian serantau milik pengeluar kenderaan itu di Zon Perdagangan Bebas di Pelabuhan Klang.

 

Ia akan menyokong strategi Stellantis untuk memperkukuhkan kehadirannya di seluruh rantau Asia Pasifik dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat automotif utama.

 

Gudang seluas 18,000 meter persegi itu direka sebagai pusat pengedaran alat ganti secara cekap dan menyediakan sokongan selepas jualan yang lancar di 20 negara di rantau India & Asia Pasifik termasuk pasaran utama seperti Malaysia.

 

Ia juga boleh mengurangkan masa penghantaran dan meningkatkan ketersediaan alat ganti kenderaan untuk semua jenama Stellantis, termasuk Peugeot, Citroen, Alfa Romeo, Jeep, RAM dan lain-lain.

 

Ketua Bahagian Alat Ganti & Perkhidmatan Stellantis India & Asia Pasifik, Olivier Torchet berkata, pihaknya berbangga menyambut DHL sebagai rakan logistik dan gembira memiliki peneraju logistik bertaraf dunia dalam operasi gudang.

 

"Tahap kepakaran dan kebolehpercayaan DHL yang luar biasa dalam logistik dan operasi gudang sejajar dengan matlamat kami untuk pengedaran alat ganti yang boleh dipercayai dan pantas, membolehkan kami menyediakan sokongan selepas jualan yang terbaik di rantau ini. 

 

"Bersama-sama, kami akan meningkatkan kecekapan operasi untuk menetapkan tahap kecemerlangan perkhidmatan yang bukan sahaja mengukuhkan jejak Stellantis yang semakin berkembang, tetapi juga memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai pusat automotif serantau," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan, DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz pula menyifatkan, pihaknya menyaksikan pertumbuhan dan transformasi yang signifikan dalam industri automotif Malaysia, yang kini merupakan pasaran kedua terbesar di Asia Tenggara. 

 

Katanya, pertumbuhan itu memberi peluang kepada DHL untuk memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan rantaian bekalan untuk pengeluar kenderaan di negara ini. 

 

"Dengan komitmen Malaysia terhadap Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), pusat serantau di sini memberikan pelanggan kami struktur kos yang kompetitif dan infrastruktur yang baik untuk mencapai pasaran ASEAN yang menguntungkan.

 

"Dengan menggabungkan kepakaran logistik kami dengan pendekatan visi Stellantis, kami mahu menyediakan penyelesaian untuk meningkatkan daya saing industri dan menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi pusat automotif serantau," ujarnya.

 

DHL Supply Chain Malaysia terus komited untuk memacu masa depan sektor mobiliti automotif, menyokong pengeluar kenderaan, pembuat komponen, tayar dan penyedia pasca jualan. 

 

Komitmen berkenaan selaras dengan agenda pertumbuhan DHL, yang disokong oleh pelaburan sebanyak RM613.02 juta di Malaysia untuk memperluaskan kapasiti dan membangunkan bakat terbaik, memastikan sokongan tanpa gangguan untuk keperluan dan cita-cita pertumbuhan pelanggan yang semakin berkembang. 

 

Ia merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan bahagian yang lebih luas di pasaran utama, dengan jumlah pelaburan strategik DHL Supply Chain sepanjang tahun lalu mencecah RM6.31 bilion di peringkat global.

 

Malaysia adalah lokasi kepada lebih 640 pengeluar utama dalam sektor automotif, yang merangkumi pelbagai komponen. - DagangNews.com