Stellantis Malaysia lancar SUV Leapmotor C10, harga pengenalan bermula RM149,000 | DagangNews Skip to main content

Stellantis Malaysia lancar SUV Leapmotor C10, harga pengenalan bermula RM149,000

Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI

KUALA LUMPUR 16 Okt – Stellantis Malaysia melancarkan jenama otomotif tenaga baharu, Leapmotor menerusi produk global pertamanya, SUV elektrik C10 serba baharu. 

 

Model SUV elektrik itu ditawarkan dengan harga pengenalan RM149,000 di atas jalan tanpa insurans untuk tempoh terhad.

 

Harga pengenalan tersebut sah untuk tempahan yang dibuat sehingga 30 November 2024.

 

Selepas tempoh itu, SUV segmen D terbabit akan ditawarkan pada harga RM159,000.

 

Pelancaran berkenaan menandakan satu pencapaian besar buat Leapmotor International yang merupakan sebuah syarikat kerjasama dengan pegangan 51:49 di antara Stellantis dan Leapmotor. 

 

kereta

 

Ia memberi fokus kepada jualan global kenderaan tenaga baharu (NEV) buatan China berteknologi tinggi dan kos efisien yang kian meningkat di pasaran luar China. 

 

Pencapaian itu mampu dicatat dalam masa cuma satu tahun sejak syarikat kerjasama berkenaan ditubuhkan, selari dengan pelaburan Stellantis sebanyak RM7 bilion untuk menguasai sekitar 21% peratus kepentingan Leapmotor.

 

SUV C10 yang sedia untuk pasaran global itu memulakan penampilan pertamanya di pasaran Asia Tenggara menerusi debut di Malaysia. 

 

Jentera berkenaan direka untuk golongan profesional dan keluarga moden dengan menawarkan kualiti pengendalian yang dioptimumkan oleh Maserati, selain aspek keselamatan, keselesaan serta teknologi pintar. 

 

Ia hadir dengan reka bentuk yang memenangi anugerah dan digabungkan bersama nilai luar biasa. 

 

kereta

 

Semua itu dapat direalisasikan kerana pendekatan Leapmotor yang membangun dan menghasilkan sendiri alat ganti yang merangkumi lebih 60 peratus daripada keseluruhan kenderaan tersebut.

 

Disenaraikan sebagai salah satu daripada tiga jenama syarikat pemula EV terbaik dalam pasaran kenderaan tenaga baharu di China, Leapmotor mencapai pertumbuhan luar biasa dengan jumlah penghantaran kumulatif sebanyak 460,000 unit menjelang September 2024. 

 

Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan Leapmotor sebagai sebuah jenama perintis dan dilihat komited untuk terus berada di pentas global melalui rangkaian jualan dan servis Stellantis yang komprehensif.

 

Ketua Pegawai Operasi Stellantis ASEAN, Daniel Gonzalez berkata, kerjasamanya dengan Leapmotor agak unik kerana ia menawarkan pelanggan akses kepada teknologi BEV yang bernilai tinggi dan canggih, selain disokong oleh kerangka organisasi dan peruncitan daripada Stellantis.

 

kereta

 

"Ini akan memastikan pengalaman pemilikan yang fokus kepada pelanggan, seterusnya dapat membezakan Leapmotor dengan jenama China yang lain. 

 

"Dengan pengenalan SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu ke pasaran tempatan, kami juga aktif dalam menyumbang kepada masa depan yang lebih bersih dan hijau, selari dengan matlamat negara untuk menuju ke arah memperkasakan mobiliti yang mapan," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais menyifatkan, pelancaran SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu menandakan perjalanan yang cukup mengujakan buat Stellantis Malaysia. 

 

"Ia membolehkan kami menjadi pencabar baharu dalam segmen kenderaan elektrik tempatan dengan menawarkan sebuah SUV BEV yang luar biasa," ujar beliau. 

 

Padat dengan ciri dan teknologi yang pertama di dunia dan di dalam segmennya, C10 ialah produk utama yang menonjolkan inovasi terbaik buat pertama kali kepada rakyat Malaysia. 

 

Leapmotor C10 dibina berasaskan pelantar Leap 3.0 dengan ukuran dimensi 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak tapak roda 2,825 mm. Jarak lega permukaannya pula adalah 180 mm.

 

Leapmotor ialah syarikat pertama memperkenalkan teknologi Sel ke Chasis (CTC) 2.0 yang mengintegrasikan pek bateri C10 ke dalam struktur.

 

Berbanding pelantar bukan sel ke badan, C10 menawarkan pelbagai ciri terbaik seperti susun atur ruang bateri yang 17.5 peratus lebih baik.

 

Model itu mempunyai motor elektrik Permanent Magnetic Synchronic pada roda belakang (RWD) yang menghasilkan 214 kuasa kuda dan 320 Nm daya kilas.

 

Ia dikuasakan oleh bateri litium besi fosfat (LFP) 69.9 kWj dan membolehkan SUV elektrik ini memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa cuma 7.5 saat. Ini membolehkannya bergerak sejauh 422 km (kitaran WLTP) untuk sekali cas penuh.

 

Dari segi pengecasan, ia dilengkapi dengan pengecas AC 6.6 kW dan turut menyokong pengecasan pantas (DC) sehingga 84 kW. Tempoh pengecasan bateri dari takat 30 hingga 80 peratus mengambil masa 30 minit.

 

Reka bentuk C10 telah menerima pengiktirafan berprestij iaitu Anugerah Reka Bentuk Antarabangsa CMF 2023 dan Anugerah Reka Bentuk Perancis 2024.

 

Ia menampilkan rekaan bulat segi empat tepat dan horizontal yang estetik memberikannya penampilan yang minimalis serta maskulin. - DagangNews.com