Subsidi pendidikan dikurangkan bagi kelompok pendapatan 15% teratas, naik taraf kemudahan SBP dan IPTA | DagangNews Skip to main content

Subsidi pendidikan dikurangkan bagi kelompok pendapatan 15% teratas, naik taraf kemudahan SBP dan IPTA

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kerajaan hari ini menegaskan kelompok pendapatan 15% teratas terbabit dengan pengurangan subsidi pendidikan yang akan dilaksanakan secara berperingkat melalui Belanjawan 2025.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi itu akan disalurkan bagi menambah baik prasarana sekolah berasrama penuh (SBP) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk manfaat semua pelajar.

 

“Bagaimanapun pengurangan subsidi pendidikan tidak akan membabitkan kelompok lain khususnya B40 dan rakyat termiskin,” katanya semasa pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Negara, hari ini.

 

PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, matlamat asal penubuhan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah untuk membantu murid cemerlang dan dari keluarga susah serta pedalaman mendapatkan pendidikan terbaik.

 

“Subsidi bagi seorang murid SBP mencecah RM15,000 setahun.

 

“Namun, berdasarkan angka terkini, didapati 30% murid dari keluarga berpendapatan tinggi,” katanya.

 

Anwar juga menegaskan, penyasaran subsidi seumpama ini akan turut melibatkan kesihatan awam. 

 

“Golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital kerajaan. 

 

“Penjimatan diraih dapat dimanfaat untuk membiayai peranti perubatan untuk pesakit miskin dan menaik taraf peralatan hospital dan klinik awam,” katanya.- DagangNews.com