Subsidi RON95 akan dilaksanakan pada pertengahan 2025 - PM | DagangNews Skip to main content

Subsidi RON95 akan dilaksanakan pada pertengahan 2025 - PM

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025. 

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Menteri Kewangan berkata, penjimatan daripada subsidi tersebut akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

 

Semasa pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen hari ini, beliau berkata, langkah itu dilakukan memandangkan warga asing dan 15% teratas pengguna orang yang mampu menikmati 40% subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

 

Perdana Menteri menegaskan, jumlah RM8 bilion itu lebih baik disalurkan kepada peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

 

RON95

 

“Sehingga kini, harga RON95 Malaysia ialah RM2.05 berbanding negara tetangga seperti Thailand (RM5.85), Indonesia (RM3.38), Singapura (RM9.02) dan Arab Saudi (RM2.66).

 

“Harga yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun 2023 mencecah RM20 bilion,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85% rakyat tidak terkesan.

 

Beliau juga menegaskan, tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85% rakyat.

 

“Maknanya, kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85% rakyat,” katanya- DagangNews.com