Sunway, Kementerian Pendidikan Tinggi meterai MoU TVET selama tiga tahun lahirkan graduan berkualiti | DagangNews Skip to main content

Sunway, Kementerian Pendidikan Tinggi meterai MoU TVET selama tiga tahun lahirkan graduan berkualiti

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Dis - Kumpulan Sunway dan Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) TVET selama tiga tahun bagi perkongsian kemahiran dan kepakaran, program latihan industri, serta pembangunan modal insan. 

 

Kerjasama dengan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di bawah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti MOHE itu, akan menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar TVET dari wilayah selatan Malaysia. 

 

Selain itu, fokus utama dalam kerjasama adalah pelaksanaan Program Latihan Industri Berstruktur yang direka untuk meningkatkan kemahiran praktikal pelajar dan mempersiapkan mereka menghadapi tuntutan industri yang semakin berkembang dan mencabar.

 

Setakat ini, lebih 200 pelajar TVET di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada kerjasama berterusan Sunway dengan Universiti Teknologi MARA, Institut Latihan Kemahiran Belia Negara, serta beberapa politeknik dan kolej komuniti di Malaysia. 

 

Sunway juga menyediakan peluang latihan industri dan perkongsian kemahiran kepada institusi TVET awam lain, mengukuhkan komitmennya dalam memajukan pendidikan teknikal dan vokasional di negara ini.

 

Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Sunway, Foo Shiang Wyne berkata, pihaknya percaya kerjasama yang terjalin melalui MoU itu akan membolehkannya melahirkan tenaga kerja yang cekap yang memenuhi permintaan pasaran. 

 

"Sunway komited untuk menyediakan peluang latihan industri berkualiti dan program pembangunan bakat untuk pelajar PIS," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Kanan Kompetensi, Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah MOHE, Ts. Razak bin Sabtu berkata, kerjasama tersebut menunjukkan komitmen JPPKK bersama PIS, untuk memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dan sejajar dengan permintaan industri semasa. 

 

"Sunway merupakan rakan strategik yang akan membantu kami dalam mengembangkan peluang latihan dan memudahkan penempatan kerja bagi graduan kami," ujarnya.

 

Majlis tandatangan berkenaan dihadiri oleh wakil dari Sunway, serta pegawai kanan dan kakitangan dari Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti MOHE dan PIS. 

 

Ia menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan antara sektor akademik dan industri, selaras dengan usaha kedua-dua pihak untuk memajukan pembangunan modal insan berkualiti di Malaysia.

 

MoU tersebut adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh Sunway untuk memajukan rakyat Malaysia dengan memberi tumpuan kepada pendidikan dan peningkatan kemahiran dalam lima industri utama iaitu hospitaliti, kulinari, penyelenggaraan kemudahan & peralatan, automotif dan penjagaan kesihatan. 

 

Kerjasama Sunway dengan sekolah vokasional awam selaras dengan tumpuan yang semakin meningkat oleh Kerajaan Malaysia terhadap pendidikan vokasional, yang telah meningkatkan peruntukan dalam Bajet 2025 daripada RM6.8 bilion kepada RM7.5 bilion. - DagangNews.com