Syarikat perkapalan Taiwan, Wan Hai dan Interasia capai jumlah kendalian 2 juta TEU di Northport | DagangNews Skip to main content

Syarikat perkapalan Taiwan, Wan Hai dan Interasia capai jumlah kendalian 2 juta TEU di Northport

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Fakhrul Azhar Tajudin (tujuh dari kiri), Pengarah Wan Hai Lines, Ted Chen (lapan dari kiri),  Presiden Interasia Lines Taiwan, Jeff Lo (enam dari kiri), Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Ean Yong Hian Wah (tujuh dari kanan) dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Kapten K. Subramaniam (lima dari kiri)
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Northport (Malaysia) Bhd mencatat jumlah kendalian 2 juta TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh kaki) dalam setahun bagi syarikat perkapalan Taiwan, iaitu Wan Hai Lines (M) Sdn Bhd dan Interasia Lines (M) Sdn Bhd.

 

Ahli Kumpulan MMC itu berkata, Wan Hai telah memulakan perkhidmatan Singapura/Malaysia di Northport, (ketika itu dikenali sebagai Klang Container Terminal atau KCT) pada tahun 1989.

 

Kini Wan Hai adalah pelanggan terbesar Northport dari segi pengendalian kontena. 

 

Sementara itu, Interasia memulakan operasi di Northport melalui perkhidmatan Indonesia/Malaysia Express dalam tahun 2006 dan hari ini, Interasia merupakan salah satu pelanggan terbesar di Northport.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn Bhd (MMC Ports), Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, Wan Hai mencatatkan pertumbuhan sejak kejayaan mereka mencapai kendalian satu juta TEU pada 2015 di Northport. 

 

Beliau berkata, Interasia pula telah mengukuhkan operasinya dan terus meningkatkan bahagian pasaran mereka di Northport. 

 

"Pencapaian ini mencerminkan pengukuhan dan potensi perdagangan InterAsia yang semakin meningkat, dan kami kekal komited dalam menyokong rancangan pengembangan rakan-rakan kongsi kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Wan Hai kini mempunyai 15 perkhidmatan persinggahan di Northport, manakala Interasia mempunyai 11 perkhidmatan persinggahan bersama beberapa kumpulan rakan kongsi termasuk Wan Hai. 

 

Dari Januari hingga November 2024, Wan Hai dan Interasia masing-masing merekodkan pertumbuhan pengendalian sebanyak 11% dan 15% di Northport, berbanding tempoh yang sama pada 2023.

 

Mengulas tentang kejayaan Wan Hai dan Interasia, Azman berkata, pencapaian kedua-dua syarikat perkapalan itu adalah bukti peranan Northport sebagai salah sebuah pelabuhan utama di rantau ini. 

 

"Pertumbuhan ini juga menyerlahkan kejayaan perkembangan dan strategi logistik maritim yang kukuh oleh syarikat Wan Hai dan Interasia," katanya. - DagangNews.com