Syarikat perladangan durian, DSR Taiko pertimbang cadangan pemindahan ke Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Syarikat perladangan durian, DSR Taiko pertimbang cadangan pemindahan ke Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - DSR Taiko Bhd, syarikat perladangan durian yang tersenarai di Pasaran LEAP diminta mempertimbangkan cadangan untuk memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, pemegang saham utama, Datuk Ng Lian Poh dan Pengarah DSR Taiko, Ng Soh Kian meminta lembaga pengarah untuk mempertimbangkan cadangan itu.

 

Lian Poh memegang 34.72% kepentingan dalam DSR Taiko, manakala Soh Kian memiliki 31.8%, data Bloomberg menunjukkan.

 

Kesemua ahli lembaga pengarah kecuali mereka "akan membincangkan cadangan pemindahan" itu, kata DSR Taiko tanpa memberi sebarang ulasan lanjut.

 

DSR Taiko terlibat dalam keseluruhan rantaian nilai perniagaan tani durian, meliputi kedua-dua aktiviti huluan dan hiliran.

 

Operasi syarikat termasuk penanaman dan penuaian durian, jualan runcit durian segar, serta pengeluaran dan pengedaran produk berasaskan durian.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24), keuntungan bersih DSR Taiko melonjak tiga kali ganda kepada RM3.53 juta hasil tuaian yang lebih tinggi daripada kebunnya yang matang dan peningkatan jualan eksport produk berasaskan durian. 

 

Hasil meningkat 66% kepada RM18.29 juta daripada RM10.96 juta pada FY23.

 

Syarikat yang berpangkalan di Pahang itu kini sedang mencari tanah ladang durian tambahan di Raub dan Bentong bagi mengembangkan simpanan tanahnya, menurut penyata kewangan terbaharunya yang telah diaudit.

 

Dusun DSR Taiko yang sedia ada mempunyai lebih 4,800 pokok durian, terutamanya di Raub dan Bentong, dengan 800 pokok berusia lebih 25 tahun, menurut maklumat di laman web syarikat.- DagangNews.com