IPOH 17 Jan - Lokasi geopelancongan popular di Ipoh, Tasik Cermin mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan ‘The Best Accessible Tourism Initiative Award’ bersempena Anugerah Pelancongan Perak 2024 baru-baru ini.
Anugerah ini turut memberi impak posotif kepada industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia.
Malaysia sebelum ini tersenarai sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global 2024 dan Destinasi Mesra Muslim Terbaik Pertubuhan Kerjasama Islam untuk tahun kedua berturut-turut.
Justeru, Tasik Cermin yang mengambil ilham sempena pantulan jernih tasik menyerupai cermin ini juga dilihat sebagai permata tersembunyi Ipoh yang berharga.
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, transformasi Tasik Cermin daripada bekas kuari kepada ikon pelancongan merupakan simbol terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan ekonomi Perak.
Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad (MHB) berkata, kejayaan ini menunjukkan kesungguhan MHB bersama rakan strategik, STG World Sdn. Bhd. (STG) dalam menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang inklusif.
“Kami berbangga untuk membawa pengalaman unik ini kepada dunia.
“Bayangkan, hanya 2 jam perjalanan dari ibu negara, rakyat Malaysia kini dapat menikmati keindahan warisan geologi di Lembah Kinta yang bukan sahaja mempunyai nilai estetik tinggi, tetapi juga nilai sejarah.
“Suatu masa dahulu, inilah antara penyumbang utama ekonomi negara dalam perlombongan dan industri timah dan kini ia telah dibangunkan sebagai pusat pelancongan yang turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan Malaysia.
“Ini merupakan suatu inisiatif membanggakan buat MHB dan STG kerana telah berjaya memulihara warisan geologi ini sehingga berjaya meraih pengiktirafan dalam anugerah berprestij,” ujarnya.
Destinasi geopelancongan Tasik Cermin ini mempunyai tiga tarikan gua utama iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular.
Sejak beroperasi pada tahun 2022, pelbagai kemudahan telah dibangunkan di sini seperti jalan masuk berturap, parkir yang mencukupi, tandas, surau dan menambah baik fasiliti dan perkhidmatan dari masa ke semasa.
Pihak operator juga turut memastikan persekitaran dijaga memandangkan lokasi ini berusia sekitar 250 juta hingga 480 juta tahun yang diwartakan sebagai antara destinasi dalam Geopark Lembah Kinta.
Jelas Redza Rafiq lagi, kejayaan Tasik Cermin merupakan pengiktirafan atas usaha MHB dalam mengetengahkan kecemerlangan dan merancakkan industri pelancongan.
“Selain itu, kerajaan Perak melalui aspirasi Perak Sejahtera 2030 turut giat membangunkan pelbagai inisiatif pelancongan termasuklah geopark di bawah flagship Ekonomi Pengalaman.
“Justeru itu, MHB terus komited dalam melaksanakan inisiatif pembangunan hijau dan ekopelancongan khususnya dalam pengurusan geopark di bawah inisiatif Pengurusan Aset dan Kemudahan MHB,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Tasik Cermin Ipoh, Ng Seong Ping berkata, pihaknya terus menggiatkan usaha mempromosikan Tasik Cermin dengan menawarkan pakej-pakej yang bersesuaian dan menarik.
Antaranya menambah aktiviti riadah luar seperti ATV, Perak Food Fiesta, Hari Geologi Sedunia, Tasik Cermin Run dan sebagainya untuk dinikmati oleh para pengunjung.
“Bagi tujuan itu kami akan memastikan kakitangan yang terlibat diberi latihan dan pendedahan yang secukupnya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pihak.
“Tasik Cermin telah menarik lebih daripada 500,000 pelawat setakat Disember 2024.
“Pada tahun 2025, destinasi ini menyasarkan 1 juta pengunjung yang dijangka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan komuniti tempatan dan ekonomi negeri,” ujarnya. - DagangNews.com