KUALA LUMPUR 2 Jan - TikTok oleh ByteDance dan WeChat oleh Tencent, menjadi penyedia perkhidmatan media sosial pertama diberikan Lesen Kelas untuk Penyedia Perkhidmatan Aplikasi atau ASP (C) bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, Telegram dan Meta yang memiliki Facebook, Instagram dan WhatsApp, telah memulakan proses untuk mendapatkan lesen tersebut, yang dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.
Sementara itu, platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube, masih belum mengemukakan permohonan kepada MCMC.
"MCMC akan menilai status penyedia platform yang belum memperoleh lesen yang diperlukan dan mempertimbangkan tindakan yang sesuai di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Penyedia platform yang didapati melanggar syarat pelesenan mungkin akan disiasat dan dikenakan tindakan pengawalseliaan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Jelas MCMC, X masih belum memohon ASP (C) atas alasan ia belum mencapai lapan juta pengguna di negara ini, iaitu syarat yang ditetapkan bagi memohon lesen berkenaan.
MCMC berkata, pihaknya sedang mengkaji kesahihan dakwaan itu dan akan terus mengadakan sesi perbincangan untuk menilai kedudukan X.
Google pula mengemukakan isu mengenai ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah rangka kerja pelesenan.
MCMC berkata, pihaknya telah mempertimbangkan isu-isu tersebut dan akan memastikan YouTube serta penyedia platform lain mematuhi rangka kerja pelesenan yang kini berkuat kuasa.
Menurut suruhanjaya itu, ASP (C) adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan dalam talian serta meningkatkan perlindungan pengguna, terutamanya untuk kanak-kanak dan kumpulan yang terdedah, sambil memperbaiki pengawalseliaan terhadap penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia. - DagangNews.com