KUALA LUMPUR 10 Okt - Kerajaan perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi yang dipacu kecerdasan buatan (AI), pembangunan kemahiran dan keterangkuman ekonomi yang lebih besar dalam Bajet 2025, kata Learning Edge, sebuah organisasi pembangunan bakat.
Pengasas dan Pengarah Urusannya, Perthpal Singh Khosa berkata, jika Malaysia mahu kekal berdaya saing dalam pasaran global yang berkembang pesat, keterangkuman ekonomi adalah penting bagi menyediakan rakyatnya tanpa mengira latar belakang atau umur, akses kepada peluang dalam landskap digital baharu.
"Ini perlu dibuat dengan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar, menyediakan peluang yang saksama kepada pendidikan selain menyokong pembelajaran sepanjang hayat," katanya kepada Bernama.
Perthpal mencadangkan tumpuan khusus untuk pelaburan perlu dibuat ke atas pendidikan teknikal serta vokasional (TVET), pendidikan digital dan program kepimpinan yang berkaitan industri, dengan menyatakan bahawa peruntukan bajet secara strategik adalah kritikal dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan, khususnya melalui inisiatif TVET.
Beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan bahawa beberapa inisiatif semasa tidak menghasilkan profesional mahir yang diperlukan untuk memacu negara ke hadapan.
“Perubahan yang akan kita saksikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang akan lebih pantas dan lebih transformative berbanding dekad sebelum ini. AI akan merevolusikan industri dan mereka yang tidak bersedia akan ketinggalan,” katanya.
Sebagai pendukung pembangunan bakat, Perthpal memberitahu sistem TVET yang dibiayai dengan baik, berkaitan industri adalah penting untuk melengkapkan individu dengan kemahiran khusus yang diperlukan bagi menjamin daya saing Malaysia dalam sektor pembuatan, logistik serta industri baru muncul seperti teknologi hijau.
“Pelaburan yang signifikan dalam pendidikan digital adalah penting untuk memastikan generasi akan datang memiliki kelancaran digital memandangkan automasi dan AI akan terus mentakrifkan semula industri.
“Kita juga perlu membiayai program pembangunan kepimpinan di semua peringkat disebabkan pemimpin yang efektif akan memberi inspirasi kepada pasukan mereka untuk memacu produktiviti.
"Insentif pembelajaran sepanjang hayat juga adalah penting, ia memudahkan rakyat Malaysia mengakses pendidikan berterusan melalui geran, subsidi atau skim yang disokong majikan,” katanya.
Perthpal juga menekankan kepentingan pelaburan yang besar dalam infrastruktur digital untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan termasuk mengintegrasikan AI dan automasi ke dalam operasi.
Beliau menyokong kerjasama yang lebih kukuh antara sector awam dan swasta, menggesa penglibatan pakar industri dalam penggubalan dasar bagi memastikan pelaburan berkesan dalam latihan kemahiran dan pembangunan AI.
“Belanjawan ini dijangka mampu mendorong syarikat berkaitan kerajaan untuk diselaraskan dengan matlamat negara secara lebih rapat terutamanya dalam pembangunan kemahiran,” katanya lagi.
Menurut Perthpal, walaupun tambahan angka pembiayaan dalam bidang tertentu adalah penting untuk pembangunan bakat, pihak berkepentingan dalam pembangunan sumber manusia telah meminta ketelusan yang lebih besar mengenai kaedah agihan penyaluran kewangan termasuk kawalan kualiti yang lebih baik dalam program latihan yang dibiayai oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia.
“Kita mesti memastikan bahawa program yang dilaburkan memberikan hasil. Beberapa inisiatif latihan sekarang ini, dilihat gagal melahirkan profesional berkemahiran yang kita harapkan,” tambahnya.- DagangNews.com