TM lancar Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global pertama di Pantai Timur, bantu pacu peningkatan pelaburan | DagangNews Skip to main content

TM lancar Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global pertama di Pantai Timur, bantu pacu peningkatan pelaburan

Oleh Shamsiah Zulkafli

MARANG 14 Okt - TM melalui TM One, cabang rumusan perniagaan sektor perusahaan dan kerajaannya, melancarkan Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) yang pertama di Pantai Timur. 

 

Pusat itu memanfaatkan teknologi termaju, termasuk Kecerdasan Buatan atau AI dan Robotic Process Automation (RPA), untuk memberikan perkhidmatan dan keupayaan perniagaan digital secara strategik, menarik dan menggalakkan pelaburan baharu di wilayah berkenaan.


 
Bertempat di Marang, Terengganu, pusat tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. 

 

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Industri dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman dan Pegawai Daerah Marang, Zulkifly Isa.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pusat GBS itu adalah fasa seterusnya dalam usaha TM untuk memajukan infrastruktur digital Malaysia, memperkasakan perniagaan, komuniti dan kerajaan dalam ekonomi digital. 

 

Katanya, dibina pada platform berasaskan awan yang selamat dan memanfaatkan teknologi AI, penyelesaian tersebut menyediakan ciri seperti AI perbualan, ejen maya dan saluran digital, membolehkan respons pantas dan cekap melalui interaksi berbilang saluran. 

 

"Menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan digital Marang dan komuniti sekitarnya, pusat ini mencerminkan aspirasi Digital Powerhouse kami dalam memperkasa ekosistem bakat tempatan untuk aspek digital di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terletak di antara bandar-bandar utama seperti Kuantan dan Kuala Terengganu, pusat tersebut direka untuk mengendalikan projek berskala besar dalam pelbagai organisasi. 

 

Perkhidmatan berkenaan boleh disesuaikan mengikut keperluan organisasi dan disepadukan kepada sistem sedia ada untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang berterusan kepada para pelanggan. 

 

Bermula dengan kapasiti awal 300 tempat duduk, pusat itu direka untuk skala sehingga 1,500 tempat duduk. 

Ia dilengkapi dengan keupayaan berbilang bahasa dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab, membantu organisasi memenuhi demografi pelanggan yang pelbagai.


 
Pusat itu dijangka memberi perkhidmatan kepada agensi negeri utama termasuk Syarikat Air Terengganu (SATU), pengendali bekalan air berlesen untuk 1.2 juta penduduk di negeri ini.  

 

Ia juga adalah lanjutan daripada pengurusan sedia ada Pusat Khidmat Pelanggan SATU oleh TM One dan akan meliputi perhidmatan merentasi saluran suara dan digital seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan platform-platform media sosial. - DagangNews.com