KUALA LUMPUR 5 Dis - Untung bersih Paragon Globe Berhad bagi suku kedua berakhir 30 September 2024 (2QFY25) melonjak hampir 22 kali ganda kepada RM9.1 juta berbanding RM415,000 bagi suku sama tahun lalu dipacu prestasi luar biasa segmen pembangunan hartanahnya.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan juga meningkat 257.4% kepada RM61.1 juta berbanding RM17.1 juta pada 2QFY24.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2024 (6MFY25), untung bersih kumpulan juga meningkat kepada RM14.8 juta berbanding kerugian bersih RM412,000 disokong peningkatan hasil sebanyak 220.4% kepada RM84.1 juta berbanding RM26.4 juta pada 6MFY24.
Pengerusi Eksekutif kumpulan, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng berkata, segmen pembangunan hartanah kekal sebagai pemacu hasil utama kumpulan, menyumbang lebih 99% daripada jumlah hasil.
Beliau berkata, penyumbang utama kepada prestasi kukuh ini termasuk penjualan tanah strategik di Desa Cemerlang, Johor dan jualan kilang-kilang berkembar dan pejabat kedai di Pekan Nenas, Johor.
"Keputusan luar biasa ini mencerminkan tumpuan strategik kami untuk menyampaikan projek pembangunan hartanah bernilai tinggi dan meraih peluang pasaran dengan berkesan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai prospek, Edwin optimis dengan keadaan ekonomi yang menggalakkan dan pencapaian strategik baru-baru ini yang dilihat sebagai pemacu pertumbuhan.
Katanya, perjanjian hak pembangunan (DRA) dengan Iskandar Capital Sdn Bhd dan Tropicana Danga Bay Sdn Bhd baru-baru ini akan membolehkan kumpulan mempercepatkan garis masa projek dan memanfaatkan sinergi dengan rakan kongsi yang telah sedia ada.
"Momentum yang lebih luas di Johor, didorong inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City, mengukuhkan lagi prospek kumpulan.
"Ditambah dengan perkongsian berterusan kumpulan dengan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd bagi menyokong projek pembangunan hijau, Paragon Globe berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan berterusan.
"Prospek ekonomi Malaysia yang berdaya tahan dan pertumbuhan berterusan Johor sebagai hab serantau menyediakan asas yang kukuh untuk inisiatif masa depan kami," katanya.- DagangNews.com