Untung bersih SNS Network Technology pada 2QFY25 susut kepada RM6.3 juta kesan daripada hasil lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih SNS Network Technology pada 2QFY25 susut kepada RM6.3 juta kesan daripada hasil lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - Untung bersih SNS Network Technology Bhd menyusut kepada RM6.3 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2024 (2QFY25) berbanding RM9.5 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya disebabkan hasil yang lebih rendah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku tersebut juga menyusut kepada RM303.7 juta berbanding RM332.8 juta pada 2QFY24.

 

"Penyusutan keuntungan itu disebabkan hasil lebih rendah yang direkodkan dan peningkatan dalam perbelanjaan penjualan serta pengedaran terutamanya disebabkan oleh kenaikan gaji dan komisen kepada pasaran dalam talian pihak ketiga serta peningkatan perbelanjaan pemasaran," katanya.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai 2024 (6MFY25) juga menyusut kepada RM10.01 juta berbanding RM16.9 juta pada tahun lalu dengan hasil menyusut kepada RM517.3 juta berbanding RM622.7 juta.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, mereka telah memerikan tumpuan bagi menyokong pengembangan perkhidmatan berasaskan langganan DaaS untuk perjanjian langganan DaaS sedia ada.

 

Melihat ke masa hadapan, komitmen kumpulan terhadap inovasi kekal teguh, dengan tumpuan untuk menerima teknologi baru muncul yang sejajar dengan misi dan nilai.

 

"Kumpulan percaya pada tahun-tahun akan datang, kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam kejayaannya dan mengakui terdapat kepelbagaian dalam permintaan teknologinya," katanya.

 

Katanya, kumpulan itu menawarkan rumusan AI yang direka untuk mengubah perniagaan dengan meningkatkan kecekapan operasi dan menyampaikan pengalaman pelanggan yang diperibadikan.

 

Dengan menyepadukan teknologi AI termaju, kumpulan menyediakan rumusan yang disesuaikan yang menyelaraskan proses, menambah baik pembuatan keputusan dan memacu inovasi, memastikan perniagaan dapat memanfaatkan potensi penuh AI.- DagangNews.com