Tiga projek hartanah terbaharu UEM Sunrise di Iskandar Puteri dengan GDV RM499 juta ditempah sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

Tiga projek hartanah terbaharu UEM Sunrise di Iskandar Puteri dengan GDV RM499 juta ditempah sepenuhnya

Gambaran artis rumah dua tingkat di Aspira Hills, Iskandar Puteri - Gambar hiasan dari UEM Sunrise
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - UEM Sunrise Berhad mencapai kadar tempahan 100% semasa pratonton projek Iskandar Puteri terbaharunya yang meliputi Aspira Hills, Aspira LakeHomes dan DiReka Square dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM499 juta.

 

Menurut pemaju hartanah itu, kesemua 272 unit Aspira Hills yang dilancarkan pada 21 September 2024 telah ditempah sepenuhnya dan telah berjaya menjana GDV bernilai RM198 juta.

 

Selain itu, pratonton DiReka Square pada 22 September menyaksikan kesemua 67 unit yang tersedia telah diperoleh, ia menyumbang GDV syarikat itu sebanyak RM158 juta, manakala 147 unit Aspira LakeHomes yang telah ditempah, menjana GDV sebanyak RM143 juta.

 

UEM Sunrise berkata, sambutan pasaran kukuh itu menekankan permintaan yang semakin meningkat di rantau tersebut, disokong oleh perkembangan berterusan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). 

 

"Ini meletakkan Iskandar Puteri sebagai pintu masuk strategik antara Johor dan Singapura," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mengulas tentang kedudukan strategik di Iskandar Puteri, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pembangunan perumahan itu akan meningkatkan ketersambungan ketara di kawasan tersebut dan mengurangkan masa perjalanan ke Pusat Pemeriksaan Tuas kepada hanya 15 minit.

 

"Apabila minat dalam pasaran hartanah Iskandar Malaysia meningkat, kami menjangkakan tarikan berterusan daripada kedua-dua pelabur dan pembeli rumah.

 

"Pencapaian ini menggariskan kehadiran kukuh UEM Sunrise dalam pasaran hartanah Johor dan komitmen berterusan kami untuk menyampaikan perumahan berkualiti tinggi yang mampan. 

 

"Menjelang Bajet 2025, kami menyokong dasar yang menggalakkan perumahan mampu milik, amalan bangunan hijau dan pembiayaan projek mampan yang akan menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka panjang di rantau ini," katanya. 

 

Memandang ke hadapan, pemaju hartanah itu kekal komited untuk mewujudkan komuniti cergas, mampan yang sejajar dengan matlamat pertumbuhan jangka panjang Malaysia dan cita-cita negeri Johor dalam meletakkan Iskandar Puteri sebagai pusat pertumbuhan.  

 

Sementara itu UEM Sunrise juga komited untuk memberikan nilai kepada pihak berkepentingan dan memberi impak yang berkekalan kepada generasi akan datang.- DagangNews.com