Untung bersih SNS Network Technology pada 3QFY25 melonjak kepada RM10.2 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih SNS Network Technology pada 3QFY25 melonjak kepada RM10.2 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Dis - Untung bersih SNS Network Technology Bhd pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2024 (3QFY25) melonjak kepada RM10.2 juta berbanding RM2.01 juta bagi suku sama tahun sebelumnya didorong sumbangan saluran kedai fizikal berikutan permintaan yang lebih tinggi daripada pengguna. 

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan menyusut kepada RM249.7 juta  berbanding RM263.3 juta pada 3QFY24. 

 

"Penyusutan itu disebabkan penurunan hasil dalam industri pendidikan melalui saluran komersial, apabila kumpulan memperoleh tempahan utama pada suku yang sama.

 

"Penurunan tersebut bagaimanapun sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan hasil daripada saluran kedai dalam talian terutamanya disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi daripada pengguna serta peningkatan hasil daripada saluran kedai fizikal terutamanya disebabkan kedai baharu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Untung bersih bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2024 (9MFY25) meningkat kepada RM20.3 juta berbanding RM18.9 juta namun hasil menyusut kepada RM767 juta berbanding RM886 juta pada 9MFY24.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu menawarkan rumusan Kecerdasan Buatan (AI) yang direka bentuk untuk mengubah perniagaan dengan meningkatkan kecekapan operasi selain menyampaikan pengalaman pelanggan yang diperibadikan.

 

Katanya, dengan menyepadukan teknologi AI termaju, kumpulan menyediakan rumusan yang disesuaikan yang menyelaraskan proses, menambah baik pembuatan keputusan dan memacu inovasi, memastikan perniagaan dapat memanfaatkan potensi penuh AI.

 

"Komited terhadap kebolehcapaian dan pemahaman, kumpulan memperkasakan syarikat dari semua saiz untuk berkembang maju dalam landskap digital, menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan impak positif kepada pihak berkepentingan.

 

"Dengan menjadikan AI boleh diakses, difahami dan bermanfaat, kumpulan secara aktif menyumbang kepada penggunaan teknologi AI yang lebih luas, menyokong pertumbuhan mampan, kebolehsuaian dan daya tahan dalam persekitaran digital.

 

"Kumpulan kekal positif dengan industri ICT yang dilengkapi dengan pembangunan dalam teknologi AI yang mengakibatkan pertumbuhan berterusan dalam permintaan untuk produk ICT dan pengukuhan asas pelanggan sedia ada kami sambil mengembangkan bahagian pasaran kumpulan dalam menarik pelanggan baharu," katanya. - DagangNews.com