KUALA LUMPUR 6 Nov - Generali dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mengumumkan VSure Tech sebagai pemenang Dana Cabaran Inovasi Insurans (IICF), sebuah inisiatif yang direka untuk memberikan insentif kepada pembangunan produk dan perkhidmatan insurans yang inovatif di Malaysia.
VSure Tech dipilih daripada lima penyelesaian yang dibentangkan pada Mac 2024 di Kuala Lumpur dalam acara yang dianjurkan oleh Generali dan UNDP.
Usaha itu bertujuan membina daya tahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap iklim dan risiko-risiko lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad dan Pengurus Besar bagi Entiti Generali di Malaysia, Fabrice Benard menekankan, IICF mengutamakan visi bersama Generali dengan UNDP, iaitu untuk membina ketahanan dalam kalangan komuniti PKS di Malaysia.
"Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) membentuk 97.4% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia. Kami memainkan peranan yang penting dalam memacu keterangkuman kewangan, di samping memupuk budaya inovasi dan kelestarian bagi menjamin masa depan perusahaan mereka.
"Bersama-sama UNDP, kami ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas idea-idea inovatif mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan VSure Group, Eddy Wong berkata, beliau berbesar hati kerana diberikan peluang untuk bekerjasama melaksanakan inisiatif bagi memperkasakan PKS dan PMKS demi membina daya ketahanan kewangan yang lebih kukuh di samping menggalakkan celik kewangan.
Vsure Tech merupakan peneraju dalam teknologi insurans (Insurtech) dan Pasaran Insurans Digital, yang mencipta penyelesaian untuk meningkatkan perlindungan dan ketahanan terhadap risiko dalam kalangan PMKS di Malaysia melalui model perniagaan risiko bersama P2P (rakan-ke-rakan) dengan penawaran platform komersial digital sepenuhnya untuk insurans mikro yang mampu milik dan mudah diakses.
IICF diwujudkan untuk mengenal pasti penyelesaian inovatif yang fokus pada pencegahan risiko, pendidikan kewangan dan perlindungan.
Matlamatnya adalah untuk melengkapi tawaran insurans dengan strategi yang memperbaik pengagihan dan akses kepada perkhidmatan asas untuk komuniti sasaran, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Inisiatif berkenaan dibina melalui kerjasama antara Generali dengan Fasiliti Insurans dan Kewangan Risiko UNDP, yang bertujuan untuk mengurangkan jurang perlindungan bagi komuniti rentan dengan meningkatkan akses kepada insurans.
Inisiatif itu juga menekankan komitmen untuk memupuk kesedaran dan mempromosikan peranan insurans dalam memperkukuh keselamatan, kemampanan dan ketahanan, khususnya bagi PKS di negara-negara membangun.
Dipilih melalui proses terbuka oleh jawatankuasa IICF, Vsure Tech dianugerahkan sokongan kewangan bernilai RM176,310 daripada UNDP, di samping bantuan teknikal bagi mengembangkan lagi penyelesaian inovatif mereka.
Mereka juga memperoleh peluang untuk memanfaatkan kehadiran Generali dan UNDP di peringkat global. - DagangNews.com