KUALA LUMPUR 14 Nov - Kumpulan tenaga terintegrasi, Wasco Berhad (Wasco), menubuhkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan & Mampan yang pertama seumpamanya di ASEAN, dengan Maybank Investment Bank sebagai penasihat.
Di bawah rangka kerja itu, Wasco turut melaksanakan Pinjaman Berhubung Kelestarian pertamanya, berjumlah RM111.8 juta, dengan Maybank di Singapura sebagai pemberi pinjaman tunggal.
Rangka kerja menyeluruh itu merupakan projek yang pertama dalam Kriteria Penilaian Teknikal daripada Taksonomi Kewangan Lestari ASEAN terkini (Versi 3).
Ia menetapkan cara Wasco dan anak syarikatnya melaksanakan Transaksi Kewangan Lestari (SFT) mengikut format penggunaan hasil berhubung kelestarian dan Kewangan Transisi selaras dengan Buku Panduan Kewangan Transisi Iklim Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA), juga yang pertama seumpamanya di ASEAN.
Pinjaman yang berkait dengan Sasaran Prestasi Kelestarian Wasco itu akan menyumbang kepada pelan pembiayaan syarikat dan akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal bagi limbungan mereka di Batam, Indonesia.
Komitmen Wasco termasuklah mencapai sifar emisi gas rumah kaca (GHG) untuk Skop 1 dan 2 menjelang 2026, mencapai 30% kebergantungan kepada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2024 dan 40% menjelang 2035 daripada garis asas 2023, serta mengekalkan kadar insiden hilang masa dan kematian sifar.
Pengarah Urusan/Pengarah Eksekutif Kumpulan Wasco, Giancarlo Maccagno berkata, rangka kerja itu membolehkan Wasco melindungi masa depan dan memberikan nilai lestari kepada pelanggan semasa mereka bertransisi, sambil menyokong industri yang sedang berkembang seperti bioenergi lestari, penyimpanan karbon, tenaga angin luar pesisir dan solar.
"Ia juga membolehkan Wasco mengekalkan fleksibiliti penuh dalam mengakses kewangan lestari merentasi pelbagai jenis, format dan mata wang untuk menyokong objektif dan projek kelestarian tertentu," katanya dalam satu kenyataan.
CEO Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank, Michael Oh-Lau berkata, rangka kerja tersebut memberikan pemahaman dan keyakinan kepada Wasco dan pihaknya untuk membiayai inisiatif pengurangan karbon.
"Maybank adalah bank Malaysia pertama yang melancarkan Rangka Kerja Kewangan Transisi, yang juga merupakan yang pertama seumpamanya di ASEAN.
"Dengan ini, kami berbangga untuk bekerjasama dengan Wasco dalam membangunkan penyelesaian dan menyumbang ke arah usaha hijau rantaian bekalan dalam sektor tenaga," ujarnya. - DagangNews.com