Terokai Edisi Kedua `Pameran Maya Tayar Motosikal Michelin' | DagangNews Skip to main content

Terokai Edisi Kedua `Pameran Maya Tayar Motosikal Michelin'

KUALA LUMPUR 8 Sept - Susulan kejayaan edisi pertamanya, Pameran Maya Tayar Motosikal Michelin kini hadir dengan edisi yang kedua juga di dalam talian berserta dengan slogan “The Journey Continues”.

 

Ia membawakan pengantaramuka (interface) yang lebih sempurna, zon-zon interaktif yang baharu, serta pelbagai inovasi tayar motosikal Michelin yang terkini. Acara global yang diadakan dalam talian ini akan berlangsung selama 24 jam sehari mulai hari ini sehingga akhir tahun 2021.

 

Antara rangkuman baharu yang dapat disaksikan dalam pameran virtual ini ialah penyepaduan Panduan Michelin - memperlihatkan pengaruh Michelin sebagai perintis yang turut cemerlang di luar dunia tayar.

 

Ini termasuk sejarah penglibatan syarikat ini dalam FIM MotoE World Cup yang mencerminkan cita-cita dan semangat Michelin dalam sukan permotoran yang telah melahirkan rumusan-rumusan baharu di bawah visi “All Sustainable” miliknya, di samping komitmennya untuk membekalkan mobiliti yang lebih selamat, bersih, dan berprestasi tinggi buat semua; serta pengenalan tayar-tayar motosikal baharu yang memanfaatkan kemajuan teknologi Michelin yang terkini, iaitu Michelin Anakee Street dan Michelin Road Classic.

 

Pengarah Komersial Dwi-Tayar Michelin bagi Asia, Prichapakorn Dangrojana berkata, pameran maya yang kedua ini bukan sahaja membolehkan para pengunjung menyingkap inovasi tayar motosikal Michelin, malah turut berpeluang untuk meneroka perkembangan syarikat ini di benua Asia dan serata dunia.

 

''Dengan penambahan baharu serta ciri navigasi yang lebih baik, ia dijangka berfungsi sebagai platform yang lebih sempurna untuk menaik taraf pengalaman para pengunjung. Kami yakin bahawa platform yang diperkayakan ini dapat menarik lebih ramai pengunjung serta menawarkan mereka sebuah pengalaman virtual yang bermakna bersama kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam edisi kedua ini, Pameran Maya Tayar Motosikal Michelin menampilkan 6 dewan, setiap satu dirumus untuk mengetengahkan kandungan yang berbeza – iaitu, The Michelin Guide yang membekalkan segala maklumat yang anda perlukan untuk menikmati pengalaman kulinari yang mengujakan; Launch Area mempamerkan 2 produk yang baru dilancarkan: Michelin Anakee Street, tayar berprestasi tinggi untuk kegunaan di atas dan di luar jalan raya, serta Michelin Road Classic, iaitu tayar yang sempurna bagi motosikal serba klasik masa kini; Product Display menawarkan butiran mengenai semua tayar motosikal Michelin; Technology & Performance memperincikan teknologi-teknologi canggih dengan konsep rekaan yang baharu.

 

 

Michelin

 

 

MotoGP™ & Motorcycle Racing Strategy menyingkap hubungan jangka panjang antara Michelin dan MotoGP, termasuk profil tayar motosikal dan penunggang yang mengambil bahagian dalam MotoGP 2021, video-video penunggang dan perlumbaan MotoGP, selain memperlihatkan pembabitan Michelin dalam FIM MotoE World Cup, dan Partnership with Original Equipment Manufacturers mempamerkan kuasa usaha sama yang dijalin oleh Michelin dengan pengeluar motosikal yang terkemuka di dunia di samping mempamerkan pelbagai model motosikal yang mengenakan tayar Michelin.

 

Terdapat 6 bahasa untuk dipilih: Inggeris, Thailand, Indonesia, Jepun, Korea, dan Vietnam. Lawat motorcycletyreexhibithall.michelin.asia untuk mengamati edisi kedua Pameran Maya Tayar Motosikal Michelin . - DagangNews.com