Tesla batal bina kilang di Malaysia: PM diminta beri penjelasan | DagangNews Skip to main content

Tesla batal bina kilang di Malaysia: PM diminta beri penjelasan

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberi penjelasan berhubung laporan yang mengatakan Tesla membatalkan rancangan membina kilangnya di beberapa negara termasuk Malaysia.

 

Presiden Nasional Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan perlu menyatakan pendirian dan tindakan selanjutnya sekiranya laporan tersebut benar.

 

“Jika laporan itu benar, apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan? Terutamanya dari segi kesan terhadap pembangunan kenderaan elektrik di negara kita.

 

 

“Lagipun, Perdana Menteri telah mengumumkan selepas mesyuarat video dengan Elon Musk, orang terkaya di dunia itu berjanji untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat dan membuat pelaburan besar, yang akan membawa puluhan ribu peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada negara kita,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan kesan pembatalan tersebut terhadap pelaburan negara.

 

 

Starlink SpaceX

 

 

Dominic turut mempersoalkan status kerjasama kerajaan dengan Tesla dalam perkhidmatan satelit Starlink SpaceX susulan pembatalan itu.

 

“Menarik Tesla untuk melabur di Malaysia adalah langkah pragmatik yang boleh membawa kesan berantai dan jika rancangan ini berubah, kerajaan perlu mempunyai strategi untuk menghadapinya,” katanya lagi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tesla batal rancangan bina kilang EV di Thailand, Malaysia dan Indonesia

 

Semalam memetik laporan media Thailand, The Nation, Tesla membatalkan rancangan untuk membina kemudahan pembuatan kereta elektrik (EV) sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.

 

Menurut laporan berkenaan, Tesla hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan. - DagangNews.com