Tesla batal rancangan bina kilang EV di Thailand, Malaysia dan Indonesia, kata laporan | DagangNews Skip to main content

Tesla batal rancangan bina kilang EV di Thailand, Malaysia dan Indonesia, kata laporan

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Tesla membatalkan rancangannya untuk membangunkan kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) di Thailand dan akan memberi tumpuan kepada stesen pengecasan pantas.

 

Menurut laporan The Nation yang memetik sumber di Government House, Thailand, keputusan itu susulan pemberhentian pasukan eksekutif Tesla yang melawat Thailand pada November hingga Disember 2023.

 


"Tesla pada masa ini hanya membincangkan stesen pengecasan, rancangan kilang itu digantung bukan sahaja di Thailand tetapi di seluruh dunia.

 


"Mereka juga tidak meneruskan di Malaysia dan Indonesia, kecuali di China, Amerika dan Jerman," kata sumber itu.

 


Pada November 2023, Perdana Menteri Srettha Thavisin mengumumkan Thailand sebagai hab pembuatan EV Tesla.

 


Pengumuman itu dibuat selepas beliau mengadakan beberapa pertemuan dengan Pegaai Eksekutif Tesla, di Amerika Syarikat dan Thailand.

 


Srettha melawat Kilang Fremont Tesla di California semasa lawatannya ke AS untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-30 pada November 2023, beliau bertemu dengan eksekutif Tesla dan bergambar dengan Cybertruck, kenderaan elektrik utama Tesla.

 


Srettha dan pemimpin Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra mengalu-alukan kedatangan Pegawai Eksekutif Kanan Tesla, Rohan Patel semasa festival Yi Peng, Chiang Mai pada 28 Nov 2023.

 


Pada masa yang sama, Srettha berkata, Tesla sedang meninjau tiga tapak yang berpotensi untuk membangunkan kilang EV di Thailand dan dijangka mengumumkan pelaburan lebih AS$5 bilion pada suku pertama tahun ini.

 


Bagaimanapun, Tesla kini membatalkan rancangan pelaburannya di Thailand selepas membubarkan pasukan eksekutifnya.

 


Keputusan itu merupakan sebahagian daripada pengeluaran pelaburan Tesla di seluruh Asia dan seterusnya.- DagangNews.com