KUALA LUMPUR 15 Ogos - Texchem Resources Bhd diunjur terus mencatatkan pemulihan mampan dipacu prestasi positif bahagian kejuruteraan polimer dan perindustriannya.
RHB Investment berkata, bahagian kejuruteraan polimer bersedia untuk memanfaatkan momentum pemulihan dalam sektor pemacu cakera keras (HDD) dan semikonduktor, dengan pertumbuhan mantap juga dijangka daripada pelanggan sains hayat perubatan.
"Kami mengetahui terdapat beberapa projek margin tinggi baharu sedang meningkat dengan baik, selain inisiatif tambahan sedang dalam perancangan yang eharusnya menyumbang kepada pengembangan margin selanjutnya ditambah dengan operasi yang positif.
"Kami meramalkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) untung kasar tiga tahun sebanyak 110% bagi bahagian itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Texchem catat peningkatan hasil 12% kepada RM570 juta pada 1HFY24 didorong pemulihan segmen kejuruteraan industri
Firma penyelidikan itu berkata, bahagian perindustrian juga mengalami pemulihan dalam jumlah jualan, didorong oleh pelonggaran pelarasan inventori pelanggan dan penstabilan harga bahan kimia.
Katanya, aliran menaik baru-baru ini dalam harga kimia dijangka meningkatkan margin dalam jangka pendej berikutan kos inventori yang lebih rendah.
"Tumpuan pengurusan terhadap bahan kimia pukal membuahkan hasil yang positif, dengan jangkaan peningkatan jualan dan bahagian pasaran bergerak ke hadapan," katanya.
Sementara itu, RHB Investment berkata, bahagian makanan menghadapi cabaran operasi sejak suku kedua 2023 disebabkan oleh langkah kawalan tukaran mata wang asing di Myanmar, yang pada mulanya mewajibkan 65% daripada hasil eksport ditukar kepada mata wang tempatan pada kadar tetap yang tidak menguntungkan.
Bagaimanapun, pelarasan baru-baru ini dalam langkah-langkah ini (mengurangkan lagi kadar penukaran mandatori kepada 25%) mengurangkan kesan dan membantu mengurangkan kerugian bahagian.
"Melangkaui masa terdekat, pengurusan menumpukan pada peningkatan jualan tempatan bagi meminimumkan impak berkaitan tukaran mata wang asing dan merancang untuk mempelbagaikan rantaian bekalan ke Thailand pada FY24," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.44 sesaham.- DagangNews.com