KUALA LUMPUR 29 Jun - The Food Purveyor (TFP) akan melanjutkan pemberian diskaun 10 peratus sehingga akhir Julai ini kepada semua petugas kesihatan menerusi rangkaian pasar rayanya.
TFP sebelum ini dikenali sebagai Village Grocer (Bangsar) Sdn. Bhd. kini mengendalikan empat jenama pasar raya iaitu Village Grocer, Ben's Independent Grocer (B.I.G), BSC Fine Foods dan Pasaraya OTK.
Ketua Pegawai Eksekutif TFP, Geoff King berkata, lanjutan itu membolehkan para pekerja kesihatan negara menggunakan pemberian tersebut sepenuhnya.
Katanya, lebih daripada 10,000 pekerja kesihatan telah menikmati pemberian diskaun tersebut, yang setakat ini melebihi RM200,000.
"Pemberian diskaun ini merupakan sumbangan kecil daripada kami sebagai tanda kasih kepada semua pekerja kesihatan yang telah memberikan servis yang terbaik kepada rakyat dan negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, pemberian diskaun barangan runcit itu diperkenalkan sejak 5 April 2020 dan terhad pada Ahad sahaja untuk tempoh enam minggu.
Apabila negara sekali lagi menghadapi ribuan kes baharu COVID-19 pada awal 2021, TFP telah melancarkan semula pemberian diskaun tersebut sejak 18 Januari lalu.
Pada April 2021, TFP telah menambah hari pemberian diskaun kepada setiap hari dan bukan pada hari Ahad sahaja
Semua doktor, jururawat, ahli farmasi dan petugas kesihatan layak menikmati 10 peratus diskaun untuk pembelian di semua cawangan pasar raya yang dikendalikannya.
Mereka hanya perlu menunjukkan bukti pekerjaan melalui ID (kad pekerja) di kaunter pembayaran. - DagangNews.com