TH, Pertubuhan Dana Kita lancar Program Sinar Baru untuk asnaf dalam bidang jahitan | DagangNews Skip to main content

TH, Pertubuhan Dana Kita lancar Program Sinar Baru untuk asnaf dalam bidang jahitan

KUALA LUMPUR 22 Mac - Lembaga Tabung Haji (TH) dan Pertubuhan Dana Kita melancarkan Program Sinar Baru bagi membantu golongan asnaf yang berminat untuk menjadi usahawan dalam bidang jahitan.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, program itu merupakan usaha yang amat baik dengan hasrat untuk membantu memberi kemahiran asas kepada para asnaf supaya dapat berdikari dan menjadi usahwan pada masa akan datang.

 

“Jika kita lihat negara dilanda pandemik pada akhir tahun 2019, ramai dalam kalangan masyarakat terutama daripada golongan B40 yang hilang pekerjaan makanya tiada sumber pendapatan. Hidup mereka jadi bertambah sukar malah ada dalam kalangan M40 yang turut terkesan, dihimpit beban kewangan yang teruk.

 

“Bertepatan dengan namanya, Program Sinar Baru TH ini pastinya merupakan peluang terbaik buat semua asnaf terpilih dan menjadi sinar harapan untuk mereka bangkit memperbaiki taraf kehidupan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Katanya, bengkel itu dianjurkan secara percuma kepada 50 peserta asnaf terpilih di sekitar Lembah Klang.

 

Sementara itu, Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, sebanyak RM272,500 telah diperuntukkan di bawah Program Sinar Baru ini bagi pembelian mesin-mesin jahit industri, barangan keperluan jahitan, seterika wap, makan minum sepanjang bengkel asas tiga hari termasuk kos pengurusan.

 

TH

 

“TH berharap kerjasama dengan Dana Kita ini akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf di Malaysia. Kemahiran menjahit yang diajarkan dalam bengkel serta peluang turut serta dalam projek jahitan oleh Dana Kita itu nanti, diharapkan dapat menjadi sumber rezeki dan mata pencarian baharu buat para asnaf yang terlibat.

 

TH

 

“TH akan terus melaksanakan program-program zakat seperti ini pada setiap tahun dan memastikan golongan sasaran mendapat faedah serta manfaat daripada kesemua program yang dijalankan,” katanya.

 

TH

 

Katanya, bengkel pengurusan Jahitan Program Sinar Baru itu akan dijalankan selama tiga hari di Wisma Pertubuhan Dana Kita, Gombak dan pemantauan terhadap peserta usahanita asnaf akan dilakukan selama setahun.

 

“Melalui data yang diperolehi daripada Pejabat Zakat, pihak sekolah dan komuniti kampung serta Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MGBWPKL), pemilihan peserta asnaf akan disaring oleh AJK Majlis Tertinggi Pertubuhan Dana Kita," katanya. - DagangNews.com