TH sumbang van kepada 25 rumah kebajikan dan persatuan terpilih seluruh negara | DagangNews Skip to main content

TH sumbang van kepada 25 rumah kebajikan dan persatuan terpilih seluruh negara

Senator Datuk Idris Ahmad (empat dari kiri), Tan Sri Azman Mokhtar (dua dari kanan) dan Dato’ Sri Amrin Awaluddin (kanan) bersama penerima van sumbangan TH di Kuala Lumpur pada 14 Februari 2022.

KUALA LUMPUR 14 Feb – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyumbang sebanyak 25 buah kenderaan (van serbaguna) bernilai RM2.3 juta kepada rumah kebajikan dan persatuan terpilih menerusi Program Mobiliti TH di Majlis Serahan Perdana di Menara TH Tun Razak, hari ini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, masih terdapat badan kebajikan yang masih kekurangan dana untuk membeli kenderaan sendiri dan sejak wabak COVID-19 melanda negara pada akhir 2019, sumber kewangan mereka turut terjejas.

 

“Sehubungan itu, sumbangan van oleh pihak TH ini saya pasti adalah satu nikmat yang ditunggu-tunggu dan amat bermakna buat semua penghuni di pertubuhan-pertubuhan amal yang telah terpilih,” katanya pada majlis tersebut.

 

menteri
Datuk Idris Ahmad

 

Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, TH telah membuat agihan kenderaan pelbagai fungsi atau van serbaguna kepada masjid-masjid bagi pengurusan jenazah dan aktiviti agama penduduk kariah sejak 2016.

 

Sejak diperkenalkan ujar beliau, TH telah menyumbang lebih 56 buah kenderaan kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara untuk manfaat lebih 200,000 kariah (penduduk sekitar).

 

Program Mobiliti TH merupakan salah satu daripada program zakat TH bertujuan untuk memudah dan melancarkan urusan pengangkutan dalam menjalankan aktiviti harian komuniti.

 

Usaha TH dalam memperluaskan lagi sumbangan Program Mobiliti ini melalui sumbangan van penumpang kepada badan-badan kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah penjagaan OKU juga adalah kerana terdapat banyak badan kebajikan di Malaysia yang tidak mempunyai pengangkutan yang selamat dan sesuai untuk para penghuni mereka menjalankan aktiviti harian.

 

 

TH

 TH

 

 

Melalui sumbangan 25 buah van penumpang ini, seramai 1,582 orang yang terdiri daripada penghuni badan kebajikan tersebut akan menerima manfaat untuk kegunaan pengangkutan yang selesa buat mereka.

 

TH turut melaksanakan Program-program zakat lain seperti Program Ehsan, Ikhtiar dan A’fiat. Pada tahun 2021 sahaja, TH telah memperuntukkan sebanyak lebih RM19 juta wang zakat untuk pelaksanaan program-program ini.

 

Keprihatinan TH dalam melaksanakan program kemasyarakatan ini adalah selaras dengan visi dan misinya dalam pembangunan sosioekonomi ummah dan negara.

 

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH,  Dato’ Sri Amrin Awaluddin; Barisan Ahli Jawatankuasa Zakat
Wakalah TH, dan para Wakil Pertubuhan Kebajikan dan Persatuan seluruh negara. - DagangNews.com